Tiga penyerang yang mati ditembak polis di luar bar di Pasar Borough, malam tadi. - Foto Daily Mail
Tiga penyerang yang mati ditembak polis di luar bar di Pasar Borough, malam tadi. - Foto Daily Mail
AFP

POLIS yakin hanya tiga penyerang yang merempuh orang ramai dengan van di Jambatan London yang kemudian menikam mangsa di jalanan malam tadi, menyebabkan enam maut dan lebih 30 cedera.

Ketiga-tiga penyerang itu mati ditembak polis, termasuk dua yang ditembak oleh penembak tepat polis.

Mereka yang dipercayai dari kawasan Mediterranean memakai jaket yang dilekatkan balang logam kelihatan seperti jaket bom yang digunakan penyerang nekad.

Ketua bahagian anti-pengganas polis, Mark Rowley, berkata: “Kami percaya enam orang terbunuh selain tiga penyerang yang mati ditembak polis.”

Lebuh 30 mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital sekitar London.

Serangan berlaku lima hari sebelum pilihan raya umum Britain dan beberapa minit selepas perlawanan akhir Liga Juara-Juara antara Real Madrid dengan Juventus di kawasan dipenuhi bar tempat orang ramai berkumpul menonton perlawanan bola sepak melalui televisyen.

Tiga penyerang itu ditembak mati lapan minit selepas polis menerima panggilan kecemasan.

Saksi di Jambatan London, Dee, 26, berkata van dinaiki tiga penyerang itu dipandu menaiki laluan pejalan kaki dan merempuh orang ramai sebelum melanggar pagar pegi.

“Lelaki bersenjatakan pisau keluar, berlari menuruni tangga dan masuk ke dalam bar,’ katanya.

Seorang lagi saksi, Alessandro, memberitahu radio BBC radio, van berkenaan dipandu ke kiri dan kanan, cuba merempuh seramai yang boleh. “Orang ramai berlari ke sana-sini cuba mengelak daripada dilanggar,” katanya.

Pasangan suami isteri, Ben dan Natalie berkata mereka yang berada luar Pasar Borough melihat orang ramai bertempiaran lari dan nampak seorang lelaki berpakaian merah membawa pisau panjang menikam seorang lelaki tiga kali.

“Seorang lelaki cuba menghalang, dia juga rebah ditikam. Penyerang kemudian berjalan ke arah pub dan nampak kerusi besi dilempar ke arahnya.

“Saya kemudian dengar tiga tembakan,” kata Ben.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:59 PM