Agensi

London: Empat orang, termasuk seorang anggota polis terbunuh, apabila seorang lelaki merempuh orang ramai dengan kenderaan pacuan empat roda sebelum menikam anggota polis terbabit hingga mati di perkarangan bangunan Parlimen, malam tadi.

Kira-kira 20 orang dilanggar Hyundai Tucson yang dipandu di atas kaki lima jambatan oleh lelaki berkenaan sebelum terhenti selepas merempuh pagar.

Penyerang itu yang dikatakan lelaki Asia pertengahan umur, kemudian berjaya memasuki perkarangan Parlimen dan menikam seorang anggota polis hingga mati dengan dua pisau.

Lelaki itu kemudian ditembak sekurang-kurangnya dua kali oleh anggota polis bersenjata dan mati di hospital.

Antara orang awam yang maut ialah seorang wanita dan pihak berkuasa Britain setakat ini menganggap ia adalah serangan pengganas.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 20 seorang cedera dalam kejadian itu, dengan seorang wanita berjaya diselamatkan dari Sungai Thames selepas terjun ke dalam sungai itu ketika kenderaan dipandu menyerang sedang merempuh orang ramai.

Reuters melaporkan pegawai kanan polis anti-pengganas Britain, Mark Rowley, berkata pihaknya mengenal pasti identiti penyerang namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 7:10 AM