SUKARELAWAN Kindness (dari kiri) Iman, Zulkarnain, Mohd Hafiz dan Fatin Amira.
SUKARELAWAN Kindness (dari kiri) Iman, Zulkarnain, Mohd Hafiz dan Fatin Amira.
ANTARA aktiviti dijalankan.
ANTARA aktiviti dijalankan.
ANTARA aktiviti dijalankan.
ANTARA aktiviti dijalankan.
CERIAKAN warga emas.
CERIAKAN warga emas.
Siti Zarinah Sahib

Mungkin ramai bertanya apa yang diperoleh dengan melakukan kerja sukarela. “Dapat duit tak? Berapa kau dapat? Ehh.. Takkan percuma saja?” Mungkin ini antara kata-kata yang dilontarkan kepada mereka yang sering menyertai aktiviti sukarelawan sama ada anjuran badan kerajaan atau bukan kerajaan.

Hakikatnya walaupun aktiviti sukarelawan dilakukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan sama ada wang ringgit, barang atau nama namun golongan ini mempunyai sebab tersendiri mengapa terus menyertai setiap aktiviti.

Jawapan yang diberikan amat pendek - puas. Kepuasan yang tidak boleh dibeli ini menjadi pendorong utama mereka terus berkhidmat walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga.

Paling utama dan jelas, meluangkan masa bersama golongan gelandangan, masyarakat Orang Asli, anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan adalah terapi paling ‘indah’ selepas penat bekerja. Tanpa sedar susunan masa dan percaturan hidup diatur cukup lengkap dan sempurna oleh Allah serta ia menjadi saham akhirat yang tidak ternilai harganya.

Rezeki lebih luas

Pelbagai pengalaman ditempuh Fatin Amira Nabila Tauran, 25, selepas hampir empat tahun menjadi sukarelawan Kindness Malaysia (Kindness). Berasal dari Ipoh, Perak, dia yang mempunyai sifat suka membantu sejak kecil mengakui pantang ada orang sakit di kampung, dia orang pertama yang akan melawat dan menghulurkan bantuan.

“Sifat ini terbawa-bawa sebaik melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM). Tambahan pula saya berpeluang menjalani latihan amali di Yayasan Kemanusiaan Muslim Aids Malaysia menyebabkan kecintaan kepada aktiviti sukarelawan semakin bercambah. Aktiviti pertama yang saya ikuti adalah memberi makanan kepada gelandangan.

“Sukar digambarkan perasaan saya kali pertama memberikan makanan kepada satu keluarga yang hanya berlindung di kaki lima jalan. Hampir saya menitiskan air mata. Saya semakin insaf dengan kesusahan orang lain dan bersyukur dengan apa yang saya terima,” katanya.

Bermula daripada satu aktiviti, Fatin terus mengikuti apa saja aktiviti yang diadakan Kindness. Antaranya Projek Parkir, Projek Selipar, Kurma dan Kismis, Projek Baginda serta pelbagai lagi projek yang semuanya bertujuan menggembirakan orang lain. Walaupun aktiviti yang dijalankan ini kelihatan sangat sederhana dan mudah namun ia memberikan makna tersendiri.

“Misalnya menjual nasi lemak berharga 50 sen dan air mineral 20 sen, secara tidak langsung membantu mereka yang kurang berkemampuan. Malah, senyuman dan ucapan terima kasih yang diterima memberikan kepuasan kepada kami,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik ini mengakui kebenaran ungkapan ‘dengan membantu orang, Allah akan permudahkan kehidupan’. Sejak di sekolah dia bukan pelajar pintar, namun dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak begitu cemerlang dia berpeluang melanjutkan pengajian ke matrikulasi dan seterusnya ke Universiti Malaya.

“Bukan itu saja, perjalanan kehidupan saya sepanjang pengajian dipermudahkan. Duit sentiasa cukup walaupun hanya mengharapkan pinjaman. Sebaik tamat belajar saya hanya sempat menganggur sebulan dan terus diterima bekerja.

“Sehingga sekarang saya merasai nikmat yang Allah berikan tidak pernah putus. Sebab itu saya akan terus menyertai apa saja aktiviti sukarelawan kerana lebih banyak kita memberi, nikmat Allah yang kita terima lebih luas,” katanya yang kerap mengunjungi perkampungan Orang Asli bagi mengajar Iqra kepada anak kecil di sana.

Seronok lihat orang gembira

“Saya seronok melihat kegembiraan orang lain. Setiap kali aktiviti selesai saya dapati air muka mereka yang dibantu sangat berlainan, kelihatan ceria dan bercahaya. Ucapan terima kasih mereka memberikan kepuasan yang tidak ternilai,” kata Iman Nur Alia Khairudin, 24, yang menjadi sukarelawan Kindness sejak 2014.

Bertugas di sebuah firma audit, Iman bekerja dalam jadual yang padat. Ditambah kesesakan jalan raya setiap hari, dia memerlukan terapi bagi menenangkan diri dan meredakan tekanan.

“Sejak menyertai aktiviti Futsal Piala Kindness pada 2014 dan bertemu anak yatim saya rasai keseronokannya. Ia berbeza dengan aktiviti yang saya sertai sebelum ini. Sejak itu saya kuatkan azam untuk mengikuti apa saja program sukarelawan anjuran Kindness.

“Antara yang paling terkesan di hati ialah ketika memberi makanan kepada gelandangan di Kota Raya, Kuala Lumpur. Sedih melihat mereka tidur beralaskan kotak, ada juga yang mempunyai anak kecil. Ia membuatkan saya sangat bersyukur dengan nikmat yang saya peroleh sekarang,” katanya.

Walaupun bekerja setiap hari, namun Iman tidak menjadikannya sebagai alasan untuk mengelak daripada menghadiri aktiviti ini. Ini kerana setiap program diadakan pada hujung minggu. Jika ada aktiviti di luar Kuala Lumpur seperti memasuki perkampungan Orang Asli di Pos Betau, Kuala Lipis Pahang, dia perlu merencana jadualnya dengan baik.

Jadi inspirasi insan lain

Bagi Mohd Hafiz Abd Rahman Hakimi, 24, sukarelawan diibaratkan sebagai duta yang dapat memberikan inspirasi kepada orang lain terutama anak muda untuk sama-sama berkongsi kebaikan. Tidak kira sama ada yang dilakukan itu besar atau kecil, ia tetap membawa manfaat.

Mula menyertai Kindness pada 2014, apabila menjadi sukarelawan untuk program motivasi sekolah rendah di Seremban. Ketika itu dia diminta mengajar pelajar tahun satu untuk mata pelajaran bahasa Melayu.

“Baru saya tahu keseronokannya apabila melakukan sesuatu perkara tanpa mengharapkan balasan. Semua tekanan kerja seakan hilang. Selepas itu saya tekad untuk terus menyertai aktiviti sukarelawan yang dianjurkan Kindness,” katanya.

Bekas pelajar Politeknik Ungku Omar ini mengakui sepanjang di kampus dia turut melakukan kerja amal. Jadi ia seakan-akan sebati dalam hidupnya.

“Jika tidak melakukannya saya seakan-akan ketagih. Tambah pula saya dikelilingi rakan ‘sejiwa’ yang sentiasa positif dan memberikan semangat antara satu sama lain. Lagipun dalam hidup yang singkat ini pentingnya kita saling memberikan manfaat kepada orang lain.

“Saya percaya semakin banyak kita memberi semakin banyak rezeki yang Allah hadiahkan. Rezeki bukan dalam bentuk wang ringgit saja, kesihatan dan kesenangan juga adalah satu bentuk nikmat yang tidak ternilai,” katanya.

Tambahnya lagi ketika usia masih muda, kudrat masih kuat ini masa untuk memberikan bantuan sama ada dalam bentuk wang ringgit atau tenaga. Dia juga berazam akan mengajak pasangan untuk bersama-sama menyertai aktiviti suka rela selepas mendirikan rumah tangga kelak.

Puas bantu orang

Pada saat anak muda lain bergembira bersama kawan di pusat-beli belah, Zulkarnain Abu Hasan, 23, memilih mengisi masa terluang dengan melakukan kerja amal. Walaupun menerima suara negatif yang mengatakan dia melakukan kerja tidak berfaedah dan tidak dibayar namun Zulkarnain ada sebab tersendiri mengapa dia masih setia bersama Kindness.

“Sejak kecil saya suka tolong orang. Jika ada kawan dalam kesusahan saya orang pertama menghulurkan bantuan. Sifat ini terbawa-bawa apabila melanjutkan pelajaran ke kolej. Setiap kali selepas selesai program saya dapat rasakan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Perasaan ini saya alami sendiri selepas mengikuti program memberi makan kepada gelandangan. Perasaan bercampur baur dan sedih melihat keadaan itu namun gembira dengan senyuman mereka,” katanya.

Menurut Zulkarnain, dia bersyukur kerana bertemu Kindness yang menyediakan medium kepada anak muda untuk mendekati masyarakat. Biasanya golongan muda dikatakan sering melakukan perkara tidak berfaedah namun Kindness membuktikan semua sukarelawan adalah orang muda yang prihatin dan gemar melakukan aktiviti kebajikan. Selain itu, projek anjuran Kindness juga bersifat unik.

“Contohnya dalam Projek Selipar, kami menyediakan selipar untuk jemaah yang kehilangan kasut mereka di masjid. Walaupun ia nampak kecil namun memberikan makna kepada mereka yang mengalaminya.

“Begitu juga dengan projek sedekah RM1, tetapi dilakukan dengan cara kreatif iaitu dengan melekatkan wang pada dinding. Selepas mengikuti pelbagai aktiviti saya dapati apa juga kebaikan boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

“Biasanya kita hanya memikirkan untuk melakukan perkara besar saja. Tetapi, dengan melakukan perkara kecil misalnya membayar parkir orang lain, memberikan kurma dan kismis ia dapat membahagiakan insan lain. Kegembiraan orang lain ini menjadi kebahagiaan kita,” katanya.

Zulkarnain juga berpendapat dengan melakukan kerja amal sesiapa juga dapat mengumpul saham akhirat dengan cara paling mudah, bukan hanya bersedekah duit dan ini yang dibuktikan Kindness. Bagi mereka yang ingin menyertai aktiviti anjuran Kindness dan menjadi sebahagian sukarelawan boleh melayari Facebook kindnessmalaysia atau Instagram volunteer kindness malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 12:00 PM