MUHAMAD (berbaju hijau) bersama penduduk kampung Manek Urai.
MUHAMAD (berbaju hijau) bersama penduduk kampung Manek Urai.
MOHD RIZA (kiri) teruja menyertai misi bantuan mangsa banjir.
MOHD RIZA (kiri) teruja menyertai misi bantuan mangsa banjir.
TOPENG diberikan kepada penduduk kampung Manek Urai.
TOPENG diberikan kepada penduduk kampung Manek Urai.
SUKARELAWAN menurunkan barang untuk diberikan kepada mangsa banjir.
SUKARELAWAN menurunkan barang untuk diberikan kepada mangsa banjir.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Tisu basah, pencuci tangan, kasut but Pua Chu Kang, baju hujan, vitamin C dan air mineral menjadi peneman setia setiap sukarelawan Kindness Dot My (Kindness) yang meneruskan misi bantuan mangsa banjir ke Kelantan. Selepas selesai menyusun barang ke dalam lori, setiap sukarelawan diberi vitamin C dengan dos 1,000mg sehari bagi mengekalkan imunisasi badan pada tahap optimum.

Dua lori lima tan penuh barang bantuan bersama lima kereta bersedia memulakan perjalanan. Berbekalkan sedikit pengalaman di Myanmar dan Filipina dalam pengurusan bencana, 20 sukarelawan bersedia dari segi mental dan fizikal memikul harapan, doa dan amanah orang ramai misi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Sememangnya tugas sukarelawan sangat penting dalam memastikan bantuan dapat diberikan sepenuhnya. Mereka juga mestilah cukup sihat dan bersemangat kerana banyak perkara perlu dilakukan. Ia bukan setakat menyampaikan bantuan kepada mangsa, tetapi membersihkan keadaan rumah berlumpur tebal dan roboh, tetapi juga memberikan semangat agar mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Menurut Pengasas Kindness Dot My Muhammad Kamarulazizi, projek yang diberi nama Projek Banjir ini, amat bermakna bagi setiap sukarelawan kerana selain menghulurkan bantuan ada sesuatu yang mampu memberikan nilai bermakna buat mereka.

Perjalanan ke Kelantan mengambil masa lapan hingga sembilan jam ke lokasi pertama Kampung Tanjung Chat yang terletak di pinggir Kota Bahru, pastinya memberi kesedaran kepada sukarelawan mengenai nilai simpati serta rasa belas ihsan kepada mangsa.

Dalam keadaan hujan lebat dengan air separas betis yang masih belum surut, ia tidak mematahkan semangat sukarelawan apabila lebih 60 pek Kindness Kit termasuk dapur dan lampin bayi diagihkan kepada setiap rumah di Kampung Lati, Pasir Mas.

"Sememangnya, ia menuntut pengobanan serta lahir daripada hati yang ikhlas. Tidak semua rela untuk bersama-sama kami. Di sinilah pentingnya semangat berpasukan dan saling memberi sokongan sehingga semua tugasan dapat dijalankan dengan lancar," katanya yang berterima kasih kepada Sugoi Group of Companies yang menyumbang hampir RM50,000 barang bantuan Kindness Kit manakala ICelebrate pula memberikan sabun mandi dan pencuci tangan.

Sembunyi kesedihan

Di Manek Urai, lokasi terakhir misi bantuan banjir sememangnya menyentuh hati dan perasaan semua yang terbabit. Keadaan sangat memilukan. Kebanyakan rumah roboh menyembah bumi, yang tinggal hanya tiang dan tangga batu. Jalan raya tidak sekadar rosak teruk, malah disaluti lumpur kering.

Debu tanah berterbangan setiap kali ada kenderaan lalu. Pada waktu ini topeng muka diagihkan kepada orang ramai termasuk pihak berkuasa seperti polis dan askar.

Ada sukarelawan tidak dapat menahan kesedihan, namun masing-masing cuba sedaya upaya menyembunyikannya kerana bimbang penduduk kampung bertambah sedih.

Menurut perunding teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta, Mohd Riza Atan, 34, setiap kali terbabit dalam misi bantuan hatinya tersentuh memikirkan ujian yang menimpa mangsa dan keluarga.

"Saya membayangkan andai perkara seperti ini berlaku pada saya dan keluarga. Saya berdoa agar diberi kekuatan untuk tabah menghadapi setiap ujian Allah. Ucapan terima kasih yang diterima daripada mangsa benar-benar menimbulkan keinsafan seterusnya mendidik untuk lebih menghargai nikmat yang diberikan selama ini," katanya yang terbabit dalam aktiviti sukarelawan sejak di zaman persekolahan lagi.

Menurut Riza, dia akan cuba menyertai setiap aktiviti kemasyarakatan. Pengalaman dan perasaan selepas melaksanakan setiap projek amat sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia tidak boleh diukur dengan wang ringgit.

Ketika banjir melanda Riza yang berasal dari Johor terus menghubungi Kindness untuk mengetahui bantuan yang boleh diberikan untuk misi banjir kali ini.

"Ini pengalaman yang sangat berharga dan tidak dapat dipelajari secara teori. Ia membuatkan saya merenung kembali keupayaan diri yang serba kerdil berbanding kuasa Allah SWT. Ia mengembalikan kita kepada pemilik alam dan ternyata segala yang ada di atas muka bumi ini bukanlah milik kita yang kekal. Ujian ini seharusnya memberikan keinsafan untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur dan dekat dengan Allah," katanya yang turut menyertai Projek Gelandangan, Selipar, Taja Mereka, Batu dan Orang Asli

Pereka grafik Aniza Adenan, 37, mula membabitkan diri dengan kerja sukarelawan pada 2010 kerana ingin membantu rakan-rakan. Lama-kelamaan timbul minat sehingga menjadi satu kewajipan untuk menyertai misi bantuan secara serius pada 2012. Selepas terbabit dengan misi banjir dan melihat sendiri keadaan mangsa di Pahang pada tahun lalu, Aniza berasa keperluan untuk menyertai misi bantuan di Pantai Timur tahun ini.

"Kali pertama menjejakkan kaki ke Kelantan memang rasa gentar sedikit, risau jika tidak dapat menjalankan tugas dengan baik. Tetapi suntikan semangat dari rakan sukarelawan membuatkan semua berjalan lancar dan segala masalah dapat diatasi.

"Apa yang penting bagi sukarelawan ialah perlu mempersiapkan diri dan emosi agar dapat melaksanakan kerja dengan baik dan teratur. Sukarelawan juga kena bersikap positif. Kesihatan juga harus dijaga supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini," ujarnya.

Tambah Aniza sepanjang menjadi sukarelawan banyak kebaikan diperoleh terutama dalam memperkuatkan emosi, belajar kerjasama , memupuk sikap ikhlas dan sifat mudah berkorban untuk kebaikan serta menyemai perasaan kasih sayang antara satu sama lain.

"Para mulanya, kawan dari Kelantan bercerita mengenai keadaan air sungai dan banjir yang di negeri Pantai Timur itu. Pada waktu itu, banjir belum di tahap kritikal. Saya kemudiannya memanjangkan perkara ini kepada sukarelawan Kindness yang lain untuk misi kemanusian banjir di sana.

"Atas usaha semua pihak, kami memulakan hebahan untuk mengumpul dana dan sumbangan. Alhamdulillah, sumbangan yang diterima amat menggalakkan berkat usaha sukarelawan Kindness, syarikat dan individu memberikan sumbangan ubat-ubatan, makanan, peralatan mencuci, barangan sekolah, sejadah, selimut dan bantal," demikian menurut Wan Nazri Wan Mhd Shuhaimi yang turut menyertai misi bantuan ke Kelantan baru-baru ini.

Jelasnya, cabaran yang terpaksa dilalui adalah kekangan masa dan keletihan semasa menghantar bantuan. Namun, semuanya dilalui berkat doa dan semangat rakan sepasukan. Untuk menjaga emosi mangsa, bantuan dihulurkan secara santai dan ceria agar ia dapat menggembirakan mangsa banjir.

Jadi lebih bersyukur

Bagi pengarah syarikat swasta Noriduan Abd Rahman, 32, dia terpanggil untuk menyertai misi bantuan banjir ke Kelantan selepas melihat di media massa mengenai keadaan banjir yang sangat memilukan. Hatinya hiba apabila melihat keseluruhan rumah yang rosak teruk akibat banjir.

"Saya langsung tidak menyangka keadaan mereka sebegini teruk. Memandangkan bekalan makanan dan keperluan tidak cukup saya ingin membantu bagi meringankan beban mereka. Cabaran paling besar sepanjang berada di sana adalah keadaan persekitaran dengan cuaca yang tidak menentu.

"Hujan lebat menyebabkan keadaan becak dan ada di beberapa kawasan air belum surut sepenuhnya. Ini menyulitkan perjalanan sukarelawan. Semasa di kampung Manek Urai kami terpaksa menempuh keadaan berdebu. Dengan perancangan teliti seperti menyediakan kasut getah, baju hujan serta topeng muka membuatkan misi kali ini berjalan lancar," katanya.

Aktiviti sukarelawan bukan sekadar mengisi masa lapang tetapi mendekatkan diri dengan masyarakat berbilang kaum dan agama. Misi bantuan ini juga menjadikan seseorang itu bersyukur dengan apa yang dimiliki serta dapat menginsafi diri dengan setiap kejadian yang berlaku. Sukarelawan juga dapat belajar daripada pengalaman orang lain dalam misi berbeza. Namun paling penting adalah menjaga emosi dan kesihatan.

"Pastikan rehat dan tidur mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Kerjasama dan semangat setia kawan antara rakan sukarelawan penting bagi memastikan emosi setiap orang tidak terganggu supaya program berjalan seperti yang dirancang. Sukarelawan juga harus tenang dalam menghadapi apa jua situasi supaya dapat memberi semangat kepada rakan sukarelawan dan juga mangsa terbabit," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:04 AM