AURA hebat di ruang tamu.
AURA hebat di ruang tamu.
RUANG ringkas berhadapan lif menarik dengan dua kerusi merah.
RUANG ringkas berhadapan lif menarik dengan dua kerusi merah.
TATAhias di ruang makan utama.
TATAhias di ruang makan utama.
SEGALANYA lengkapkan dalam tatahias moden dan kontemporari pada ruang dapur kering.
SEGALANYA lengkapkan dalam tatahias moden dan kontemporari pada ruang dapur kering.
WARNA putih jadi latar dominan di bilik tidur utama.
WARNA putih jadi latar dominan di bilik tidur utama.
AZLIZA (kanan) dan Nur Syafiqah selesa dengan penataan moden dan kontemporari.
AZLIZA (kanan) dan Nur Syafiqah selesa dengan penataan moden dan kontemporari.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Pembentukan ruang lebih menterjemahkan idea dan sentuhan peribadi pemilik apabila penataan yang diimpikan dapat dizahirkan sepenuhnya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kini konsep moden dan kontemporari antara yang menjadi pilihan utama.

Ia dilihat membantu kesinambungan ruang untuk tampil lebih selesa dengan susunan perabot yang menyuntik suasana tenang sepanjang masa.

Sudah tentu gaya ringkas, kombinasi warna menarik dan berasaskan material berbeza mengungkapkan latar selesa, terbuka serta praktikal nyata mencerminkan gaya hidup lebih moden.

Itu juga tidak bermakna tatahias ini memerlukan bajet yang besar kerana perkara paling utama ialah perkaitan antara ruang dan interaksinya dengan penghuni.

Dalam dekorasi hiasan dalaman, kontemporari turut hadir dalam pelbagai penataan warna dan skala perabot mengikut keluasan ruang bagi mengelakkan ia kelihatan kurang menarik.

Apatah lagi konsep berkenaan mempunyai makna tersendiri bagi setiap individu untuk menzahirkannya mengikut gaya masing-masing asalkan menepati.

Ilham sendiri penataan

Peluang menemubual pemilik banglo yang terletak di Taman Seri Gombak Heights, Batu Caves, Selangor ini membuatkan penulis teruja dek latar dekorasinya yang penuh dengan ketelitian.

Bagi Azliza, idea dekorasi dalam kediaman itu adalah terjemahan peribadi dan minat mendalam suaminya Mohamed Azman Shah, terhadap dunia hiasan dalaman.

"Segalanya membawa perlambangan ketenangan dan keselesaan sepanjang masa dalam konsep moden serta kontemporari.

"Pengalaman berbeza dalam suasana segar, nyaman dan mempunyai terapi cuba digabungkan dengan cara sendiri," kata Azliza yang berkongsi idea dengan suaminya yang berkhidmat di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Di ruang tamu konsep moden dan kontemporari dilengkapkan dengan lukisan yang membawa gambaran seni tersendiri dengan rona hijau cukup membuatkan ia menjadi titik fokal di situ.

"Lakaran seni ini membawa kesinambungan suasana hijau dari landskap taman di luar sana ke dalam ruang tamu itu.

"Warna dinding, langsir dan sofa yang didatangkan dengan rona kelabu memberikan suasana sejuk," kata Azliza.

Diselang-selikan pula dengan warna sofa ungu dan bantal hiasan merah sebagai terjemahan gaya mewah harmoni.

Ruang berhadapan dengan lif pula diindahkan dua kerusi merah rekaan moden serta hiasan ringkas.

Berada di ruang makan utama pula, penataan disempurnakan dengan reka letak set kerusi putih dan meja makan untuk 10 orang.

Di sebelahnya terdapat binaan dapur kering dan kaunter pulau yang menjadi tempat makan tidak rasmi termasuk bersarapan.

Ruang makan tidak formal itu digunakan untuk meraikan tetamu dalam bilangan yang kecil.

Melangkah ke tingkat atas, ada ruang santai keluarga dengan penataan yang masih mengekalkan konsep sama iaitu moden dan kontemporari.

"Bilik tidur anak bongsu kami, Nur Syafiqah ini tampil dengan gaya feminin berlatarkan kemasan warna merah jambu.

"Sementara bilik tidur anak sulung, Nur Shahirah pula selesa dan kelihatan eksklusif dengan gaya dekorasi ringkas," kata Azliza.

Ketika menjenguk aura unik di bilik tidur utama, Azliza nyata begitu teruja untuk memperkatakan bahawa keindahan sebenar dekorasi perlu ditampilkan sepenuhnya.

Pada bilik berkenaan, diwujudkan ruang bekerja dan putih menjadi warna latar selain ditambah dengan kombinasi lengkap aksesori hiasan.

Di tingkat paling atas turut menempatkan ruang keluarga untuk bersantai dan bilik tidur anak kedua pasangan itu, Nur Syamimi yang menarik apabila warna dominannya ungu.

"Cara kami mudah iaitu sebelum keluar perlu bersihkan kediaman terlebih dulu. Sebelum tidur juga, aspek kebersihan kediaman perlu diutamakan," kata suri rumah sepenuh masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:05 AM