SETIAP sudut juga tidak diabaikan tatahiasnya.
SETIAP sudut juga tidak diabaikan tatahiasnya.
RUANG dapur ringkas.
RUANG dapur ringkas.
MENCIPTA aura ruang yang sarat terapi segar sepanjang masa.
MENCIPTA aura ruang yang sarat terapi segar sepanjang masa.
Hartini Mohd Nawi

Bergelar wanita berkerjaya bukan alasan kediamannya kurang menarik atau terkecuali daripada sentuhan dekorasi.

Jika laman depan dan belakang tampil dengan landskap warna-warni bunga-bungaan, tidak mustahil penataan ruang dalaman diabaikan.

Malah, impian mencipta aura ruang yang sarat terapi segar sepanjang masa dizahirkan Norsahida Md Saad, 39, sebaik mendiami rumah di Presint 11, Putrajaya.

Ditanya kelapangan masa yang diperuntukkan dek sentiasa sibuk dengan kerjaya, Norsahida berkata, segala aktiviti mengemas rumah dilakukan pada waktu malam yakni selepas semua rutin lain selesai.

“Malam juga bukan waktu rehat sepenuhnya buat saya biarpun seharian sibuk di pejabat.

“Bagi saya kediaman lebih sempurna apabila aspek dekorasinya diberi keutamaan. Buka saja pintu, latar ruang yang kemas dan susun atur sedap mata memandang bagaikan terapi ketena­ngan,” katanya.

Tidak menetapkan konsep atau tema dekorasi tertentu pada ruang dalaman kediamannya memberi kelebihan kepada Norsahida untuk merencanakan idea menarik saban waktu.

“Sekali imbas, penataan moden dan kontemporari, tapi ada juga aksesori hiasan gaya Inggeris. Kami sekeluarga sukakan ruang selesa, menarik dan tidak terlalu sarat dengan hiasan seperti ini,” katanya.

Reka bentuk ruang unik sering kali membuatkan tetamu terlepas pandang bahagian dapur yang terletak bersebelahan pintu masuk.

Merasakan dekorasi dapur juga penting secara tidak langsung mengilhamkan binaan kabinet ringkas, tapi lengkap fungsinya.

Ruang makan di depan mata pula digayakan begitu eksklusif dengan hiasan ringkas atas meja. Beralas pula permaidani empuk motif klasik mewah, menjamu selera di ruang itu pastinya mencipta pengalaman antara yang terindah.

Sementara menjamu selera, idea tatahias ringkas di sudut tangga juga antara yang menarik perhatian.

Bersebelahannya, kaunter ‘pulau kecil’ dilengkapi tiga kerusi santai sesekali menjadi tempat paling digemari anak-anaknya untuk sarapan pagi.

Melengkapkan kunjungan, tetamu pasti diraikan di ruang tamu eksklusif ala moden dan kontemporari.

“Paling penting bagi kami adalah keselesaan kerana ruang ini turut menjadi tempat bersantai.

“Ruang penataan di sini sekali imbas ala moden dan kontemporari dengan beberapa pilihan aksesori hiasan gaya Inggeris.

“Dinding pula saya tidak biarkan kosong, sebaliknya kemasan kertas dinding sedikit bercorak,” katanya.

Mengintai dari tirai langsir, panorama semula jadi laman belakang jelas memaparkan keindahan semula jadi mendamaikan.

Tarikannya lebih daripada itu apabila tetamu tidak hanya memandang dari jauh panorama itu.

Dari ruang tamu, bersantai pula sambil menikmati sajian ringkas di laman serba indah itu.

“Tiada yang lebih mengembirakan kami sekeluarga apabila tetamu lebih selesa dan tidak segan bersantai pula di laman ini.

“Ini membuktikan landskap ringkas pun tetap menenangkan kerana ia begitu sinonim dengan alam,” kata Norsahida yang bangga kerana mendapat sokongan suami, Shaiful Hakim Zakaria, 38.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:04 AM