MELAKUKAN ujian R&D produk serbuk durian.
MELAKUKAN ujian R&D produk serbuk durian.
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil

Tidak ramai sanggup melepaskan jawatan bergaji tetap. Namun kerana minat dan ingin berkongsi ilmu, bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) sanggup melakukannya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Nur Adriana Wong Abdullah, 55, kini menjadi pembekal bahan bakeri antaranya kek, pastri, biskut dan roti termasuk berasaskan durian selain mengendalikan kursus membuat kek, coklat, roti, biskut serta agar-agar menerusi syarikat Amore e-Bake Enterprise (Amore).

Dibantu suami, Mohd Ghazali Udin, 55, yang juga bekas kakitangan MAS, Nur Adriana berkata, sebaik menamatkan perkhidmatan dengan MAS pada 2006, beliau nekad menggunakan wang pampasan yang diterima untuk memulakan perniagaan.

Namun sebelum itu, beliau mengikuti beberapa kursus berkaitan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi memastikan usahanya tidak terbantut.

Nur Adriana berkata, satu daripada produk yang sedang diusahakan ialah serbuk durian iaitu berasaskan isi buah durian yang dikeringkan sebelum diproses menjadikan serbuk sebagai bahan tambahan dalam kek, pastri, roti atau sebagainya.

“Produk serbuk durian mula dihasilkan melalui satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang saya lakukan sendiri pada Oktober lalu.

“Ia berjaya memenangi tempat pertama Anugerah Inovasi 2015 sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2015) di Sarawak, baru-baru ini.

“Sebenarnya kami tidak menyangka produk yang baru dikeluarkan ini memenangi anugerah itu, tetapi memang ia produk pertama dihasilkan di negara ini,” katanya yang ditemui di Pusat Komersial Oakland Seremban 2, baru-baru ini.

Menurutnya, dia sedang berusaha mengkomersialkan produk terbabit dengan kerjasama agensi berkaitan bagi membolehkan ia dipasarkan.

“Saya yakin produk ini bakal mendapat tempat dalam pasaran kerana durian negara ini berkualiti tinggi selain mudah diperoleh sepanjang tahun.

“Produk berikut yang akan dikeluarkan tidak lama lagi ialah serbuk roselly yang kini dalam proses R&D dan dijangka dikeluarkan tahun depan.

“Saya mengharapkan kerjasama daripada agensi seperti MARDI untuk menjayakan projek ini terutama R&D,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata berusia antara 17 hingga 24 tahun.

Katanya, pada mulanya beliau hanya menjalankan perniagaan membuat kek, pastri dan roti secara kecil-kecilan di rumah, tetapi selepas melihat sambutan menggalakkan, dia membuka kedai di Seremban 2.

“Selepas setahun dan perniagaan nampak stabil, saya mengembangkan pula dengan mengadakan kursus. Niat saya untuk berkongsi ilmu dengan orang lain dan sama-sama dapat memajukan diri serta meningkatkan ekonomi keluarga.

“Selain itu, ia dapat memenuhi keperluan bakeri Muslim kerana selama ini masyarakat Islam banyak bergantung kepada produk kek, pastri dan roti keluaran usahawan bukan Islam,” katanya.

Selepas lebih lapan tahun menjalankan perniagaan itu, beliau berjaya membantu kira-kira 1,000 individu pelbagai peringkat daripada kalangan belia dan dewasa termasuk kakitangan kerajaan yang menjadi usahawan sama ada memiliki premis sendiri mahupun menjalankan aktiviti itu secara sambilan di rumah.

Nur Adriana berkata, syarikatnya kini menjalinkan kerjasama dengan agensi di bawah MOA seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, MARDI, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

sebagai pusat latihan dalam melatih usahawan agensi itu.

Katanya, tempoh kursus yang dikendalikan berbeza dan mengikut keupayaan serta kemahiran yang diinginkan peserta dengan paling singkat 12 hari.

“Peserta diajar membuat pelbagai jenis kek dan pastri dari peringkat asas sehingga lebih tinggi termasuk untuk majlis rasmi kerajaan.

“Setiap hari saya akan menyediakan antara 10 hingga 20 biji kek pelbagai saiz bergantung kepada permintaan.

“Selalunya dalam satu hari, hampir 50 pelanggan akan mengunjungi kedai untuk mendapatkan bahan membuat kek dan roti,” katanya.

Dia bersyukur kerana usaha yang dilakukan terus berkembang dan berhasrat untuk menubuhkan akademik pada masa depan.

“Saya bersyukur dengan perniagaan sekarang, tetapi masih banyak yang perlu kami lakukan untuk terus berjaya dan apa yang penting dapat tolong orang untuk sama-sama membina kejayaan dalam perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:01 AM