BOSQUE tamat kontrak 31 Julai ini.
BOSQUE tamat kontrak 31 Julai ini.
Reuters

Valencia: Jurulatih Sepanyol Vicente Del Bosque membuat keputusan untuk bersara selepas penyandang juara tersingkir itu daripada Euro 2016 apabila tewas kepada Itali di Perancis.

“Sudah tentu saya tidak mempunyai hasrat untuk menyambung kerja sebagai jurulatih Sepanyol.

“Keputusan itu sudah lama saya buat. Saya masih mempunyai kontrak sehingga 31 Julai ini sebelum saya bersara daripada bola sepak,” katanya yang membantu Sepanyol muncul juara Piala Dunia.

Sepanyol, yang cuba untuk memenangi kejuaraan Euro kali ketiga berturut-turut, tumpas 0-2 kepada Itali dalam saingan kelompok 16 terbaik Isnin lalu.

“Memang sukar untuk menang sekali lagi. Kami tidak memberikan persembahan terbaik ketika menentang Itali namun pada peringkat kumpulan kami bermain cemerlang,” kata Del Bosque yang berusia 65 tahun.

Sepanyol mencatat kemenangan dalam dua aksi awal ke atas Republik Czech dan Turki namun kalah aksi terakhir peringkat kumpulan kepada Croatia yang menyaksikan mereka terlepas peluang berada di tangga teratas kumpulan sehingga terpaksa berdepan Itali.

“Apa yang paling sukar adalah untuk memenangi trofi sekali lagi,” katanya.

Del Bosque berjaya membawa negaranya muncul juara Piala Dunia buat kali pertama pada 2010 dan diikuti dengan kejayaan Sepanyol muncul juara Euro buat kali kedua, dua tahun kemudian.

Sebelum ini Sepanyol pasukan yang sangat dominan dalam bola sepak dunia apabila mempunyai kelebihan dari segi mengawal permainan yang tinggi sehingga membuatkan pasukan lain sukar untuk menumpaskan mereka.

Kecemerlangan mereka semakin terhakis pada Piala Dunia 2014 apabila tersingkir di peringkat kumpulan selepas tumpas dua perlawanan.

Del Bosque yang memenangi dua kejuaraan Liga Juara-Juara dan La Liga ketika empat tahun bersama Real Madrid dari 1999, disaran untuk kekal sebagai jurulatih Sepanyol dan membawa pasukan ke Euro 2016 namun menemui kegagalan.

Mereka mudah dikalahkan Itali yang lebih tersusun dan kelihatan masih lagi dibayangi dengan skuad terdahulu Del Bosque.

“Kami gagal di Euro dan saya tidak lagi menyembunyikan masa depan saya dengan pasukan ini. Keputusan itu sudah lama dibuat sebelum ini, saya tidak mahu berselindung.

“Saya cuba untuk menangani isu ini dengan budi bicara kerana kita bercakap mengenai persekutuan dan kami harus menghormatinya. Bagaimanapun, keputusan sudah dibuat, apa saja yang berlaku di Euro, sudah diputuskan,” katanya.

Ditanya mengenai penggantinya, Del Bosque berkata, ada beberapa calon yang layak dan beliau tidak pernah ditanya siapa sepatutnya menggantikannya.

“Saya akan meninggalkan pasukan ini walaupun sangat dekat dengan saya. Saya berharap semuanya berjalan lancar. Saya sentiasa boleh membantu Sepanyol dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Bekas jurulatih Sevilla Joaquin Caparros dan pengurus Granada Paco Jemez berminat dengan jawatan berkenaan jika Del Bosque benar-benar berhenti. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:18 AM