AMEERUL.
AMEERUL.
BERSAMA isteri,  Nawwal.
BERSAMA isteri, Nawwal.
AMEERUL bersama rakan yang mempunyai minat sama.
AMEERUL bersama rakan yang mempunyai minat sama.
KOSTUM Power Rangers menjadi penyeri majlis perkahwinan Ameerul dan isteri.
KOSTUM Power Rangers menjadi penyeri majlis perkahwinan Ameerul dan isteri.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Minat dalam animasi atau karakter kartun mendorong ramai peminatnya mengambil langkah membabitkan diri dalam komuniti 'cosplay' atau pemain kostum.

Mohd Ameerul Zaid Mohd Sanusi antara peminat karakter hero Power Rangers, menjadikan watak itu sebagai identitinya sejak menyertai komuniti cosplay.

Katanya, dia mula menyertai cosplay pada 2012 atas ajakan teman rapat namun dia terlebih dulu mengumpul barangan karakter itu sejak 2008 selepas mula bekerja dan memiliki duit sendiri.

Ameerul yang mesra disapa Miyon berkata, sejak kecil dia meminati hero Jepun seperti Super Sentai, Kamen Rider dan Ultraman. Malah sampai sekarang dia tidak jemu menonton rancangan itu.

“Semasa kecil dulu, saya meminta bapa belikan barangan permainan karakter itu namun keluarga bukan orang senang. Jadi saya cuma dapat apa yang bapa mampu beli saja.

“Jadi apabila meningkat dewasa dan sudah bekerja, saya mula kumpul barangan yang mengembalikan memori zaman kanak-kanak saya. Saya kemudian dibawa menyertai kumpulan ‘Team Tokusatsu Malaysia (TTM) oleh ketua kumpulan itu, Alexander Sia pada 2013.

“Kumpulan ini lebih kepada cosplay apabila kami berpakaian seperti hero kegemaran masing-masing dan pergi ke acara cosplay seperti Ekspo Seni Visual, Fiesta Komik, Animagaki dan sebagainya.

“Kami juga menerima beberapa jemputan sebagai cosplayer jemputan di Hobbycon yang dianjurkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 2014. Selain acara cosplay, kami juga menerima jemputan daripada badan kebajikan untuk menghiburkan anak yatim dan anak istimewa,” katanya.

Lelaki berusia 30 tahun ini berkata, kumpulan itu biasanya berhubung melalui Facebook berkongsi berita terkini mengenai Tokusatsu seperti rancangan TV terbaru mahupun barangan koleksi terbaru yang akan dijual.

Menurutnya, dia selalunya mendapatkan koleksi hero kegemarannya melalui pembelian secara dalam talian atau kedai mainan dan jika ada yang berkenan di hati, dia akan membelinya.

Miyon kini memiliki set lengkap kostum sut merah Mighty Morphin Power Rangers termasuk ‘dragon shield’ dan pedang ‘Ryugekiken’ yang berharga lebih RM3,000 namun katanya dia tidak membelinya sekali gus sebaliknya secara sikit demi sikit dengan mengambil masa setahun untuk melengkapkan koleksi itu.

Antara koleksi yang dimilikinya termasuk sut lengkap kostum Red Ranger, topi keledar Blue Ranger dan Kamen Rider, koleksi figura aksi Kamen Rider serta pelbagai barangan lain.

Bagaimanapun, katanya, koleksinya itu setakat ini tidak dijual kepada pengumpul lain kerana dia begitu menghargai barangan yang dikumpulkan. Kerana sayang jugalah, semua barangan itu masih tersimpan rapi di dalam kotak.

“Kepuasan dan keseronokan mempunyai hobi ini membawa saya kembali kepada memori zaman kanak-kanak. Semua orang ada hobi masing-masing dan sesetengahnya sanggup berhabis demi kereta, memancing atau motosikal.

“Saya pula suka mengumpul barangan sebegini. Mungkin bagi sesetengah orang menganggap ia kebudak-budakan tetapi saya tidak ambil kisah sebab semua orang berhak bercakap apa saja dan kita tak boleh tutup mulut mereka, jadi lebih baik kita lakukan perkara yang kita suka,” katanya.

Berkongsi minat karakter kartun, isterinya, Nawwal Laila Hasninlayali meminati karakter Hello Kitty dan Sailormoon, tetapi belum menjadi pengumpul tegar namun mereka berdua saling menyokong antara satu sama lain.

“Isteri selalu menemani saya ke acara cosplay yang disertai. Saya bersyukur mempunyai isteri yang memahami dan tidak pernah mengongkong hobi saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 11:45 AM