WATAK adiwira daripada TTM meriahkan majlis perkahwinan Syafiq-Aimi.
WATAK adiwira daripada TTM meriahkan majlis perkahwinan Syafiq-Aimi.

Kuala Lumpur: Minat mendalam terhadap watak adiwira Kamen Rider dari Jepun, sepasang pengantin baru sepakat mengabadikan majlis persandingan mereka sambil diiringi kumpulan wira bertopeng itu.

Pengantin lelaki, Syafiq Mansor, 25, berkata, idea menampilkan pengiring itu adalah kerana minat mendalamnya terhadap watak adiwira terbabit sejak kecil dan masa sama cadangan itu mendapat sokongan isterinya, Aimi Aqilah, 25.

Bagi menjayakan hasrat itu, beliau yang juga ahli Kelab Kamen Rider Maniac, menjemput tujuh ahli Kelab Tokusatsu Malaysia (TTM) ke majlis persandingannya yang berlangsung di kawasan rekreasi, Taman Kiara Rimba.

Pengasas kelab TTM Alexander Sia Eng Her, 30, yang hadir bersama enam ahlinya, sepakat memakai ‘cosplay’ yang mewakili watak Kamen Rider Ichigo, Nigo, Kuuga, Dark Kabuto, Ixa, W dan Wizard.

Kehadiran mereka nyata memeriahkan suasana majlis persandingan yang berlangsung di taman itu apabila menarik perhatian kanak-kanak dan tetamu majlis itu untuk turut bergambar bersama sebagai kenangan.

Syafiq berkata, dia dan isteri terharu dengan kesudian rakan daripada TTM yang sudi menjayakan hari bersejarah mereka.

“Kehadiran watak-watak Kamen Rider pada majlis kami ini adalah sesuatu yang cukup bermakna buat saya kerana meminati siri televisyen ini sejak kecil.

“Saya mengenali mereka menerusi laman sosial Facebook kerana berkongsi minat sama,” katanya yang bekerja sebagai pereka grafik dan dikenali sebagai Sasori Kun, dalam kalangan ahli kelabnya.

“Kami dari kelab TTM yang menghadiri majlis perkahwinan Sasori Kun(nama samaran Syafiq) ini bukan semata-mata untuk mendapatkan perhatian orang ramai tetapi kami datang secara sukarela membantu rakan kami yang mengakhiri zaman bujangnya dalam menjayakan majlis perkahwinan mereka berdua hari ini.” kata seorang pengasas kelab TTM itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 7:54 AM