BAZAR Ramadan antara tumpuan sepanjang bulan puasa.
BAZAR Ramadan antara tumpuan sepanjang bulan puasa.

Ramadan menjelma kembali. Perkara yang sering terbayang di fikiran kebanyakan kita ialah kemeriahan di bazar. Seolah-olah pesta menjual makanan, pelbagai jenis hidangan yang unik dan jarang dijumpai boleh didapati dengan mudah.

Kuih, lauk atau minuman, antara yang menjadi tarikan juadah berbuka puasa. Tatkala perut lapar, nafsu makan mula menjengah dan ketika ini apa saja diinginkan akan dicari.

Namun, tanpa kita sedari di tangan sudah penuh membimbit beg plastik berisi makanan yang banyak sedangkan tidak ramai yang boleh menghabiskannya.

Selain membazir, rata-rata mula mengetepikan amalan makan secara sihat semata-mata kerana mahu memenuhi nafsu makan semasa berbuka.

Makan secara sihat perlu dijadikan amalan setiap masa, lebih-lebih lagi semasa menjalani ibadah puasa. Ia sangat penting untuk mengelak beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut dan kandungan gula rendah dalam darah.

Sekiranya masalah ini berlaku, ia boleh mengganggu seseorang itu berpuasa dengan selesa dan menghayati fadilat Ramadan.

Kunci kepada amalan makan secara sihat iaitu ambil pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang perlu diamalkan walaupun di bulan puasa.

Kita mesti mengambil makanan daripada semua kumpulan berdasarkan Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin, buah, sayur, ikan, ayam, daging, kekacang, produk tenusu, sedikit minyak, lemak, gula dan garam.

Selain itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup.

1. Berbuka puasa

Ramai yang suka mengambil kuih manis sebagai juadah berbuka puasa. Paling penting, tidak makan secara berlebihan dan digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dulu sebaik saja waktu berbuka puasa tiba.

Ini untuk mengelak ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita. Misalnya, ambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa kerana ia kaya dengan tenaga dan serat.

Pengambilan makanan yang pedas dan berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka kerana dikhuatiri boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada perut di siang hari.

2. Sahur

Amalan bersahur sangat penting semasa berpuasa untuk membekalkan tenaga di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak.

Bersahur awal atau sahur sebelum tidur tidak digalakkan. Semasa bersahur, digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat.

Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh dan oat pula dapat mengurangkan rasa lapar.

Jangan lupa ambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur. Namun, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

Ramadan satu peluang untuk menurunkan berat badan bagi mereka yang bermasalah. Perkara yang penting ialah amalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan hidangan tinggi lemak serta gula.

Beri perhatian juga pada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar, kita lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak.

Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk anda tidak aktif. Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana seperti regangan dan berjalan kaki.

Pengambilan makanan secara sihat bukan saja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Sumber: Laman portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 12:25 PM