FOTO Amran Yahya
FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


Kuala Pilah: Seorang pekerja sebuah kilang simen di Jelai di sini, maut dihempap sebuah forklift yang dipandunya selepas terjunam di lereng bukit setinggi empat meter, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abd Rahman berkata, mangsa, G Murugan, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kaki kanannya hampir hancur.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang memandu forklift dikatakan sedang menuruni bukit selepas menghantar sisa besi di atas bukit sebelum jentera itu tergelincir dan terjunam ke lereng bukit.

"Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan dihempap jentera itu. Kejadian disedari rakan sekerjanya yang berusaha membantu menyelamatkannya dengan mengangkat forklift menggunakan kren.

"Pasukan bomba turut dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 6:54 PM