MUHAMMAD Syamsul sedang menerima rawatan selepas kaki kanannya dipotong dari bahagian peha akibat kemalangan. FOTO ihsan Siti Nur Safirah
MUHAMMAD Syamsul sedang menerima rawatan selepas kaki kanannya dipotong dari bahagian peha akibat kemalangan. FOTO ihsan Siti Nur Safirah
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Berat dugaan ditanggung seorang ibu muda apabila kaki kanan suaminya terpaksa dipotong selepas menjadi mangsa langgar lari.

Siti Nur Safirah Zainuddin, 24, dari Kampung Air Dedali Batu Kikir di sini, berkata, kemalangan berlaku ketika suaminya, Muhammad Syamsul Amri Halim, 27, menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah premis beroperasi 24 jam di pekan Kuala Pilah di sini.

Suri rumah itu berkata, kejadian kemalangan berlaku pada jam 6.20 pagi, 25 September lalu.

] "Saya dimaklumkan motosikal ditunggangi suami dipercayai dilanggar sebuah kereta model Proton Iswara Aeroback berwarna hitam.

"Akibat insiden itu, suami mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan, tulang pinggul dan tangan kanan.

"Suami kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah bagi mendapatkan rawatan," katanya semalam.

Menurutnya, doktor mengesahkan bahawa kaki kanan suaminya terpaksa dipotong kerana sudah hancur.

Siti Nur Safirah berkata, bahagian pinggul suami juga dipasangkan besi kerana patah selain bahagian pergelangan tangan kanan juga mengalami kecederaan serius.

Ibu kepada dua anak berusia satu dan tiga tahun itu berkata, suami berada selama lima hari di ICU hospital berkenaan sebelum keluar ke wad biasa semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:40 PM