Seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi rakan sekerjanya cedera ringan tertimbus tanah di sebuah kilang simen di Jelai, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mereka dipercayai sedang bekerja di kawasan bancuhan tanah sebelum tanah dari atas mesin bancuhan itu terjatuh dan mengenai ketiga-tiga mangsa.

Difahamkan, dua pekerja masing-masing seorang lelaki tempatan dan warga Bangladesh sempat menyelamatkan diri manakala mangsa yang berusia lingkungan 40-an tertimbus bawah tanah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Jaafar Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.10 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian.

“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit, namun mangsa disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Dua mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, untuk rawatan lanjut,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 9:09 AM