ZAINAL Abidin meninjau keadaan jambatan runtuh di Sungai Ulu Tenom. FOTO ihsan Polis
ZAINAL Abidin meninjau keadaan jambatan runtuh di Sungai Ulu Tenom. FOTO ihsan Polis
Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Polis Diraja Malaysia nafi Cameron Highlands tidak selamat dikunjungi sejak jambatan runtuh di Sungai Ulu Tenom, Ahad lalu, seperti yang diwar-warkan di dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman berkata, keadaan semasa di Cameron Highlands adalah selamat dan boleh dikunjungi semua pelawat.

"Cameron Highlands adalah pusat peranginan kepada pengunjung sama ada datang dari dalam dan luar negara.

"Tiada apa-apa yang berlaku di sini seperti yang diwar-warkan di dalam media sosial sebelum ini dan saya menegaskan ia selamat dan boleh dikunjungi oleh semua pelawat.

"Nasihat dari saya jangan ada tomahan dan memanipulasikan fakta tentang Cameron Highlands ini tambahan pula di waktu cuti sekolah bermula," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, berhubung bencana jambatan runtuh itu pula, pihaknya dan pelbagai agensi lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta beberapa agensi lain sudah membuat lawatan ke lokasi kejadian.

"Didapati jambatan berkenaan masih lagi dalam tindakan pembinaan semula dan dijangka siap dalam tempoh terdekat. Jambatan ini yang dikatakan jambatan utama laluan keluar dan masuk runtuh akibat hujan lebat tempoh hari serta derasan kuat air sungai dipercayai menghakis tebing berhampiran.

"Lokasi kejadian jambatan runtuh itu terletak di persimpangan tiga jalan utama dari Tringkap ke Pos Trisu sejauh lebih kurang 1km ke jambatan kecilberkenaan," katanya.

Menurutnya, pemantauan masih diteruskan pihak berkuasa dan keadaan di sini adalah selamat untuk dikunjungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 3:25 PM