FAYE
FAYE
Ramlah Zainal


Satu demi satu kontroversi datang menguji ketabahan pelakon Faye Kusairi sejak dua tahun berkecimpung dalam bidang hiburan tanah air.

Selepas didakwa terbabit dalam kes perceraian pelakon Elly Mazlein, kediaman keluarganya di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pula diserbu pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 10 April lalu berikutan aduan kononnya dia dikatakan berkhalwat di rumah itu.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, menganggap apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT untuk menguji keimanannya.

“Saya percaya setiap ujian yang datang pasti ada hikmah di sebaliknya. Selepas dilanda kontroversi, saya tidak pernah patah semangat untuk meneruskan karier lakonan yang diminati sejak dulu.

“Apa yang penting, saya ikhlas menjadi anak seni dan terus bekerja keras untuk menggilap bakat lakonan sedia ada,” katanya.

Faye yang kini bertudung juga bersyukur kerana terus mendapat kepercayaan daripada penerbit dan pengarah drama.

“Saya percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT. Tawaran berlakon tetap ada dan tidak terjejas dengan kontroversi yang melanda. Agenda seni juga berjalan lancar seperti biasa.

“Ternyata masih ada peminat yang memberi sokongan kepada saya. Saya juga percaya kebenaran akan terserlah satu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu, drama bersiri Pujaan Hati Umi lakonannya sudah pun ditayangkan di Slot Azalea TV3 sebelum ini.

“Saya difahamkan, drama itu mendapat sambutan yang baik daripada penonton. Lebih bermakna saya juga diberi kepercayaan menyampaikan lagu tema berjudul Kau Biarkan dalam drama sekali gus dijadikan single pertama,” katanya.

Selain itu, Faye juga berlakon dalam drama bersiri Sekali Aku Jatuh Cinta dan Bibik Bibikku.

Pelumba kereta profesional

Selain berlakon, Faye juga aktif dalam sukan lumba kereta dan memiliki lesen perlumbaan kereta profesional.

Terbaru, dia menyertai pasukan lumba kereta Mayhem Motorsport bergandingan dengan pelakon dan pelawak Zizan Razak untuk bersaing dalam Malaysian Speed Festival (MSF) yang akan berlangsung pada Jun hingga November ini.

“Bermula sebagai hobi, kini saya sudah memiliki lesen lumba kereta secara profesional. Sempena perlumbaan kali ini, saya akan memandu kereta Proton Gen2 yang diubah suai dan bakal beraksi dalam kategori Race Car 1600. Ia bermula dengan pusingan pertama pada Litar Antarabangsa Sepang pada 5 Jun ini.

“Saya juga dilatih pengurus pasukan, Megat Shahrezal dan ingin menggunakan pengalaman sedia ada bagi mengharungi cabaran di MSF 2016.

“Setakat ini, saya tidak pernah pulang dengan tangan kosong dalam mana-mana perlumbaan sebelum ini. Bersandarkan pengalaman, saya berusaha mendapat tempat dalam kelompok tiga pelumba terbaik nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 11:04 AM