FOTO ihsan Bomba
FOTO ihsan Bomba
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Sebuah tong gas yang mengandungi 1,000 liter asid hidroklorik mengalami kebocoran di sebuah kilang di Bayan Baru, 10 pagi tadi.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II,(Komander Hazmat Jalan Perak), Kamarul Ariffin Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.18 pagi dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian membabitkan 22 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba Bayan Baru dan Jalan Perak.

Beliau berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati satu daripada enam tong mengandungi asid hidroklorik sebanyak 1,000 liter dilaporkan bocor.

Beliau berkata, bahan yang bocor itu mengalir masuk ke dalam longkang dan terus ke kawasan rawatan air buangan.

Katanya, pemeriksaan lanjut dan kerja 'neutralized' menggunakan soda ash yang dibekalkan pihak kilang untuk menyerap lebihan asid turut dilakukan.

"Tiada mangsa terbabit dalam kejadian berkenaan dan keluasan kawasan terjejas dianggarkan 10 meter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 2:26 PM