Petaling Jaya: Seorang pemandu lori kontena cemas apabila muatan tong berisi asid nitrik bocor sebaik dia tiba di pintu masuk sebuah kilang di Pusat Perdagangan Bebas di Sungei Way, semalam.

Dalam kejadian jam 12.09 tengah hari itu, pemandu lori itu menyedari selepas mendapati cecair asid mengalir keluar daripada lori.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, hanya satu daripada enam tong asid nitrik yang dikesan mengalami kebocoran.

Menurutnya, lori itu membawa enam tong mengandungi 200 liter asid setiap satu.

“Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian.

“Keadaan berjaya dikawal segera apabila lebihan sisa asid yang bocor dipindahkan ke dalam tong yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:00 AM