SOFI.
SOFI.
Nor Akmar Samudin


Pada 2014, Sofi Jikan pernah membuat kenyataan dia sudah muak dengan industri filem tempatan kerana selama 20 tahun berlakon, tiada sebarang perubahan dan pembaharuan.

Watak yang diterimanya juga sama saja iaitu sebagai gengster. Sebagai anak seni sejati, tiada masalah untuknya membawakan pelbagai peranan dan karakter termasuk ‘watak putih’.

Namun, dengan hanya melihat kepada raut wajahnya yang agak kasar dan berkulit gelap, penerbit dan pengarah berterusan menawarkannya watak jahat yang membuatkannya bosan.

Pemilik nama sebenar Muhammad Soffi Jikan, 46, ini sememangnya berbakat besar dalam bidang lakonan, dia juga dikurniakan bakat dalam bidang seni suara dan selepas nekad enggan lagi berlakon kecuali dengan syarikat produksinya sendiri, Iman Film Sdn Bhd, dia kini aktif menyanyi di samping banyak melakukan kerja amal.

Kejutan buatnya apabila dijemput untuk mewarnai program Gempak Superstar terbitan Astro yang baru saja berakhir dengan menobatkan Siti Elizad sebagai juara.

Berjaya sehingga ke final sekali gus pelakon filem Rock Ooo itu menafikan dia seolah-olah dijadikan badut dalam program itu dan memang serius untuk menjadi penyanyi.

Ikuti luahan hatinya kepada wartawan RAP, Nor Akmar Samudin.

RAP: Kongsikan pengalaman anda sepanjang menyertai Gempak Superstar, baru-baru ini.

SOFI : Saya sudah biasa menyanyi dan membuat persembahan di depan khalayak ramai tetapi yang ini lain sikit kerana kali pertama menyertai pertandingan besar. Untuk membuat persediaan pada setiap minggu saya ada pasukan sendiri dan setiap Jumaat kami akan ‘jamming’.

Saya serius untuk membuktikan bakat nyanyian dan sebab itu sentiasa berusaha mempersembahkan yang terbaik. Bagaimanapun, sebagai pelakon, kekuatan saya lebih kepada persembahan dan bukan­nya vokal.

RAP: Ada yang kata anda dijadikan badut dalam program itu dan terus kekal kerana undi penonton?

SOFI: Saya rasa kata-kata itu tidak benar sama sekali dan saya terus kekal sehingga ke final bukan kerana undi penonton tetapi kerana markah diberikan juri profesional.

Bagaimanapun, saya tidak kisah dengan apa saja tanggapan ramai terhadap saya kerana selama 20 tahun berada dalam industri hiburan, saya sudah lali dengan tohmahan dan celaan. Saya tahu apa yang saya buat dan apa yang saya mahukan.

Setiap minggu saya buat bersungguh-sungguh kerana kena jaga maruah dan saya mencabar diri untuk melakukan sehabis baik. Saya tidak pernah peduli dengan komen dan kutukan. Saya sudah banyak pengalaman jadi apa yang nak dihairankan sangat dengan kata-kata orang. Saya menyanyi lima minit saja di pentas jadi kutukan dan hinaan yang dilemparkan penonton dalam waktu yang begitu singkat, tidak memberi kesan kepada saya pun.

Pada saya, mereka di luar sana sebenarnya tidak layak untuk memberi komen dan ia hanyalah kata-kata daripada mereka yang tidak puas hati dengan saya. Apa yang penting saya buat kerja saya saja.

RAP: Adakah Gempak Superstar meninggalkan impak besar kepada kerjaya seni anda?

SOFI: Ia biasa-biasa saja. Cuma ketika saya masih dalam program itu ada penggubah lagu dari Singapura yang hanya mahu dikenali dengan nama pena, Jali Boy, berminat memberikan lagunya kepada saya yang berentak hip hop.

Lagu yang liriknya berkonsepkan ketuhanan mengajak manusia bertaubat itu akan dapat didengar selepas Aidilfitri ini. Jali Boy juga penasihat saya dalam Gempak Superstar.

Ketika berlakon dalam filem Rock Ooo saya pernah merakamkan single berjudul Malaikat Maut. Kini saya sudah ada album berjudul Kasi Sengat yang diterbitkan bersama Edrie Hashim. Lagu yang dimuatkan Madu, Kasi Sengat, Gangster Rock Style, Bisik, Raja Gulung Kertas, Adi Genius dan Cinta Android. Album itu boleh diperoleh menerusi iTunes.

RAP: Bercakap mengenai lakonan, anda sudah nekad untuk mengundur diri?

SOFI : Tawaran berlakon memang sudah tiada. Kalau saya nak berlakon pun hanyalah karya terbitan syarikat produksi saya sendiri, tetapi saya tidak keberatan untuk berlakon dengan produksi luar jika naskhahnya sangat bagus.

Dulu saya berlakon 10 hingga 12 filem setahun dan sekarang pun banyak lagi filem lakonan saya belum ditayangkan.

Saya anggap kuota saya berlakon filem sudah habis. Cukuplah tetapi kalau benar-benar ada tawaran menarik dan bayaran memuaskan, saya nak berlakon dua atau tiga filem saja setahun kerana saya juga sibuk menyanyi yang kini menjadi minat utama saya. Setiap hari saya menyanyi.

Bersama pasukan saya, kami banyak membuat persembahan di kawasan luar bandar. Pada masa sama juga saya menubuhkan kelab peminat, www.gangstarzs.com yang turut disertai artis lain seperti Saiful Apek, Dafi dan Khir Rahman.

Kelab peminat itu menjuruskan kepada perniagaan produk yang mereka yang mendaftar dengan kelab peminat itu akan mendapat banyak kelebihan. Saya bersama rakan kini banyak memberi tumpuan untuk membantu masyarakat. Sebahagian daripada penjualan produk itu akan disalurkan kepada tabung wakaf dan medik infak.

RAP: Perkembangan Iman Film?

SOFI: Kami baru saja menerbitkan filem berjudul Keajaiban Kembali (Ajib Kembali) lakonan Saiful Apek, Khir Rahman dan Fauziah Nawi. Filem itu lambat siap kerana saya terpaksa kumpul bajet sendiri. Apabila siap nanti, ia akan ditayangkan terlebih dulu di pusat pengajian tinggi sebelum dibawa ke panggung wayang.

RAP: Harapan dan perancangan masa depan anda?

SOFI: Selama 20 tahun lalu, saya menyertai industri hiburan tanpa kenal sesiapa. Saya ‘survive’ seorang diri, berusaha dan jatuh bangun atas kaki sendiri. Dunia hiburan adalah ‘survival’ dan saya tahu betapa sukarnya untuk berjaya. Selepas apa yang saya kecapi dan tiada perubahan seperti yang dinanti-nanti dengan bayaran berlakon tidak setimpal, saya sekarang mula mencari arah baru dengan aktif melakukan kerja amal. Mudah-mudahan apa yang saya lakukan sekarang akan lebih memberi kebahagiaan, ketenangan dan kesejahtaraan hidup di dunia serta akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 10:46 AM