Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim berharap peminat bola sepak dapat menghadirkan diri sebagai tanda sokongan kepada saingan Piala Supermokh Bawah 12 di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula hari ini.

Menurutnya kehadiran penyokong terutamanya pemain Liga M mampu menyemarakkan semangat pemain muda pada kejohanan kemuncak PPBN tahun ini.

“Sudah pasti saya harapkan kehadiran penyokong memberikan sokongan. Ia cukup penting dalam proses mematangkan pemain pada peringkat ini.

“Namun saya ingin ingatkan, penyokong atau ibu bapa tidak bersikap negatif seperti memarahi pemain muda ini. Mereka masih dalam proses pembelajaran,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Saingan Piala Supermokh Bawah 12 kejohanan kemuncak buat anak buah Teong Kim selepas didedahkan dengan beberapa kejohanan di luar negara seperti Jerman, Jepun dan Korea sepanjang tahun ini.

Kejohanan kali pertama itu membabitkan 16 pasukan dengan Malaysia menghantar empat pasukan iaitu Harimau, Tigers, Panthera dan Cougars dengan 12 pasukan luar negara seperti Sevilla FC (Sepanyol), Dinamo Zagred (Croatia), Pohang Steelers (Korea), Buriram United (Thailand) dan skuad kebangsaan Uzbekistan.

“Sebenarnya kita cuba mendapatkan lebih banyak kelab dari Eropah, namun ketika ini kebanyakannya terikat dalam peperiksaan sebelum cuti sambutan Krismas.

“Namun pasukan yang sudah mengesahkan kehadiran cukup untuk menguji tahap pemain negara ketika ini,” tambah bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu.

Kejohanan tiga hari itu dibahagikan kepada empat pasukan setiap kumpulan dalam saingan liga satu pusingan. Dua pasukan teratas mara ke suku akhir manakala dua pasukan tercorot setiap kumpulan ke saingan plate bagi mencari kedudukan terbaik antara sembilan hingga 16.

Perlawanan hari ini bermula jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:47 AM