TEONG Kim (tengah) mengajar teknik asas kepada peserta PPBN.
TEONG Kim (tengah) mengajar teknik asas kepada peserta PPBN.

Kuala Lumpur: Buru kejuaraan dan tingkatkan prestasi!

Itu harapan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim kepada anak buahnya dalam saingan Piala Supermokh Bawah 12, bermula esok.

Kejohanan jemputan tiga hari itu membabitkan 12 pasukan luar negara berlangsung di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Malaysia selaku tuan rumah pada edisi pertama ini menghantar empat pasukan, Harimau, Tigers, Pantera dan Cougars.

“Kami mahukan kemenangan dalam setiap kejohanan disertai kerana penting menerapkan mentaliti menang pada peringkat ini.

“Pada masa sama prestasi juga perlu meningkat bagi memastikan pembangunan yang dirancang seimbang,” kata bekas pemain negara itu.

Menurutnya, tiada gunanya pemain mencapai kemenangan namun ‘lupa cara bermain bola sepak’ dengan betul seperti mengikut perancangan taktikal jurulatih dan sebagainya.

Teong Kim menambah empat pasukan negara yang bertanding pada kejohanan ini yang terbaik pada peringkat umur 12 tahun yang dicungkil menerusi PPBN selain kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Dua kelab Eropah, Sevilla FC (Sepanyol) dan Dinamo Zagreb (Croatia) dilihat bakal menjadi pencabar utama merebut kejuaraan namun cabaran pasukan lain seperti Pohang Steelers dan Jeju Seon dari Korea Selatan tidak boleh dipandang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:01 AM