NELAYAN yang ditahan kerana pungut kepah tanpa permit sah. Foto ihsan APMM
NELAYAN yang ditahan kerana pungut kepah tanpa permit sah. Foto ihsan APMM
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Tindakan empat nelayan tempatan memungut kepah secara haram membawa padah selapas mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, 3.9 batu nautika selatan Pulau Aman, pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, semua nelayan berkenaan menggunakan dua bot pukat hanyut.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot dari Jeti Nelayan Sungai Udang, Nibong Tebal itu didapati tidak mempunyai permit yang sah daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti memungut kepah.

“Semua nelayan berumur 36 hingga 51 tahun bersama dua buah bot ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

"Hasil tangkapan kepah yang dianggarkan seberat 300 kilogram turut dirampas," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana memungut kepah tanpa permit yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 3:07 PM