Suasana konsertJelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt, di  Waterfront Kuching, malam tadi. FOTO Nadim Bokhari
Suasana konsertJelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt, di Waterfront Kuching, malam tadi. FOTO Nadim Bokhari
Michelle Gun


Kuching: Lebih 3,000 penonton membanjiri pekarangan Waterfront Kuching untuk menyaksikan persembahan lima artis popular di Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt, di sini, malam tadi.

Konsert yang bermula pada 8.30 malam itu dimulakan dengan persembahan penyanyi sensasi Youtube dan Smule, Khai Bahar yang mendengangkan lagu Bahagiamu Deritaku dan Sudah Ku Tahu.

Khai yang pertama kali membuat persembahan di depan penonton berjaya memukau penonton dengan vokal mantapnya terutama menerusi lagu Sudah Ku Tahu yang dipopularkan Projektor Band.

Persembahan kedua disampaikam Nanasheme menerusi dua lagu, Hantu Atau Buaya dan Boleh Blah.

Istimewanya, kelab peminat Nanasheme iaitu Official Nanashemers membuat kejutan dengan meraikan ulang tahun ke-21 penyanyi itu di pentas.

Forteen pula mempersembahkan lagu Dekat Tapi Jauh, Linangan Terakhir dan Kita.

Acara diteruskan dengan persembahan keempat oleh kumpulan 6ixth Sense yang menghiburkan peminat dengan 7 Kali Malam Minggu, Menyesal dan Khatimah Cinta.

Konsert melabuhkan tirai dengan Dayang Nurfaizah yang menyampaikan dua hit lagu iaitu Dayang Sayang Kamu dan Di Pintu Syurga.

Menariknya, pengunjung bertuah yang membeli produk Yeo's memenangi hadiah TV LED 40", Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Selain berhibur, penonton turut membawa pulang cenderahati dalam segmen permainan yang dikendalikan pengacara DJ Fuzz dan Wayne.

Terdahulu pada sebelah petang, beberapa aktiviti menarik menanti pengunjung iaitu karaoke santai, pertandingan mewarna dan permainan kereta kawalan jauh.

Kuching adalah lokasi terakhir Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt yang sebelum ini diadakan di Alor Setar, Muar, Kuantan, Setia Alam, dan Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 11:15 PM