NANASHEME tidak sabar bertemu peminat di Kuching.
NANASHEME tidak sabar bertemu peminat di Kuching.
Syanty Octavia Amry


Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang akan berlangsung di Kuching Waterfront, Sarawak, Sabtu ini cukup istimewa buat Nanasheme kerana ia diadakan sehari selepas dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-21.

Nanasheme yang akan menyambut hari jadinya Jumaat ini berkata, pastinya hari itu sangat istimewa kerana selain dapat menghiburkan peminat, dia juga dapat membuat persembahan di tempat kelahirannya.

Pastinya ini adalah peluang untuk saya berkumpul dengan keluarga dan bertemu peminat di sana.

“Rasa seronok itu berganda kerana dapat meraikan ulang tahun di negeri kelahiran saya. Ini juga saya anggap hadiah istimewa daripada Harian Metro,” katanya yang bakal menyanyikan dua lagu iaitu Hantu Atau Buaya dan Boleh Blah.

Selain Nanasheme, konsert yang bermula jam 8.30 malam itu turut menampilkan persembahan daripada Dayang Nurfaizah, Forteen, 6ixth Sense dan penyanyi sensasi YouTube dan Smule, Khai Bahar.

Kuching adalah lokasi terakhir Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang sebelum ini diadakan di Alor Setar, Muar, Kuantan dan Miri.

Acara kemuncaknya iaitu Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro yang diadakan di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam, pada 2 April lalu.

Konsert yang menampilkan penyanyi popular seperti Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, XPDC, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Papinka itu dihadiri lebih 35,000 penonton.

Nanasheme berkata, selain membuat persembahan, dia gembira apabila dapat mempromosikan album mininya berjudul Nanasheme yang dilancarkan, baru-baru ini.

“Saya memang tidak sabar untuk bertemu peminat di Kuching. Saya harap mereka akan terhibur dengan persembahan saya,” katanya.

Selain konsert, beberapa aktiviti menarik turut ditawarkan kepada pengunjung seperti karaoke santai, pertandingan mewarna, permainan kereta kawalan jauh dan macam-macam lagi.

Dalam pada itu, turut diadakan sesi bertemu peminat bersama artis terbabit di C Atrium, Vivacity Megamall, Kuching, Jumaat ini mulai jam 8 malam hingga 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 12:18 PM