PERSEMBAHAN 6ixth Sense di konsert jelajah, Kedah.
PERSEMBAHAN 6ixth Sense di konsert jelajah, Kedah.
Michelle Gun


Band popular 6ixth Sense kembali ke Kuching, Sarawak untuk bertemu peminat di sana dalam Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt, malam esok.

6ixth Sense yang dianggotai Adi, Gije, Wan, Ayoy dan Athan ini akan mengadakan persembahan di Kuching Waterfront pada jam 8.30 malam esok.

Adi atau nama sebenarnya Adi Priyo Sambodo berkata, kali terakhir 6ixth Sense ke Kuching pada September tahun lalu untuk persembahan di Kota Samarahan.

“Sudah lama tidak bertemu peminat di Sarawak dan kami gembira apabila diberi peluang sekali lagi untuk menghiburkan mereka,” katanya.

Mengenai lagu yang bakal dipersembahkan, penyanyi itu berkata, 6ixth Sense akan menyampaikan tiga lagu hit namun judulnya belum ditetapkan lagi.

Selain konsert, 6ixth Sense juga akan bertemu peminat di pusat beli-belah VivaCity Megamall, jam 8 malam ini.

Pada Mac lalu, 6ixth Sense membuat persembahan di Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Alor Setar, Kedah.

Selain 6ixth Sense, konsert turut menampilkan Dayang Nurfaizah, Nanasheme, Forteen serta penyanyi sensasi YouTube dan Smule, Khai Bahar.

Penonton bertuah bakal memenangi hadiah lumayan antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Beberapa aktiviti menarik turut menanti pengunjung seperti karaoke santai, pertandingan mewarna, permainan kereta kawalan jauh dan pelbagai lagi.

Kuching adalah lokasi terakhir Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang sebelum ini diadakan di Alor Setar, Muar, Kuantan dan Miri.

Acara kemuncak di Setia City Park, Setia Alam pada 2 April lalu menyaksikan lebih 35,000 penonton hadir menyaksikan persembahan daripada penyanyi popular Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, XPDC, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Papinka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 5:02 AM