Antara penagih yang ditahan. FOTO Amran Hamid
Antara penagih yang ditahan. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Seramai 27 penagih dadah termasuk remaja perempuan dan nelayan tempatan ditahan dalam serbuan sempena Program My Beautiful Malaysia, Perangi Dadah di sekitar Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Program siri ketiga itu dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) turut membersih lokasi panas yang dikesan menjadi sarang penagihan dadah.

Timbalan Pengarah (Pencegahan) AADK negeri Adzhar Kamaruddin Saidin berkata, penagih yang ditahan berusia 16 hingga 49 tahun dan mereka dibawa ke Pejabat AADK Alor Setar untuk diambil keterangan sebelum dibebas dengan jaminan.

"Orang yang kena tahan (OKT) ini kebanyakannya kes berulang kerana pernah mempunyai rekod dengan AADK sebelum ini.

"Ini menunjukkan gejala dadah ini sukar dibendung jika tiada pembabitan daripada semua pihak termasuk masyarakat setempat. Keprihatinan orang ramai sebenarnya dapat memudahkan kita untuk membanteras gejala tidak sihat ini dari akar umbi.

"Namun, lebih penting jika pemantauan dibuat bermula dari rumah oleh ibu. Awasi pergerakan ahli keluarga yang pernah terbabit dengan dadah supaya mereka tidak kembali bergaul dalam kelompok penagih," katanya pada sidang media selepas merasmikan program My Beautiful Malaysia Perangi Dadah Di Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Katanya, program berkenaan turut membabitkan seramai 18 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai dunia realiti penagihan yang tidak perlu dicontohi.

"Kita memilih pelajar sekolah ini kerana mereka hidup dalam kawasan berisiko tinggi dan berharap apabila mereka didedahkan dengan dunia sebenar penagih dadah, timbul kesedaran untuk menjauhi najis dadah selain pada masa sama kita dapat memberi penerangan mengenai keburukan dadah kepada golongan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 1:58 PM