FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Omar Osman


SERAMAI 242 pelajar menengah dari 19 sekolah di Kedah dikesan mengambil dadah, hasil ujian saringan urin dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, AADK membuat ujian saringan air kencing terhadap 4,011 pelajar dari 197 sekolah menengah di seluruh negeri ini dan hasilnya sejumlah pelajar dari 19 sekolah didapati positif pelbagai jenis dadah.

Katanya, pelajar terbabit berusia 13 hingga 17 tahun kini menjalani bimbingan dan kaunseling pihak sekolah dengan pengawasan AADK, polis dan Jabatan Pendidikan negeri.

"Jumlah ini amat tinggi dan saya memandang serius perkara ini dan tindakan segera perlu diambil bagi menangani masalah pelajar yang terbabit gejala dadah di sekolah dengan mencari punca dari mana mereka mendapat bekalan dadah.

"Saya dimaklumkan oleh AADK pembabitan pelajar dengan dadah, berpunca dari pelajar yang menjadi orang perantaraan dengan pengedar atau tokan bagi menjual dadah.

"Jadi pelajar terbabit perlu dikenal pasti dan ditahan, sekali gus dapat mencegah pembabitan dengan najis dadah," katanya selepas merasmikan penutupan program Santuni Masyarakat AADK 2017 di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani hari ini. Hadir sama Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias.

Mengulas lanjut, Tajul Urus berkata, pihak AADK dan polis turut membuat program berkala bagi memastikan pelajar terbabit tidak kembali menagih dadah.

Pada masa sama beliau menggesa pemimpin masyarakat seperti imam, penghulu, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta penduduk turut membantu AADK dalam usaha membanteras gejala dadah.

"Mereka boleh mengenal pasti siapa pengedar atau tokan dadah yang menjadi pembekal dadah di kampung masing-masing yang menyebabkan jumlah penagih semakin meningkat di negeri ini termasuklah di Tanjung Dawai ini.

"Untuk membanteras gejala penagihan dadah, kita perlu mencari punca bekalan dadah itu diperoleh dan laporkan segera kepada AADK dan polis. Dianggarkan seorang tokan dadah membekalkan dadah kepada lebih 50 penagih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 8:37 PM