PACQUIAO ketika mengundi di  Kiamba di wilayah Sarangani, kelmarin.
PACQUIAO ketika mengundi di Kiamba di wilayah Sarangani, kelmarin.
AP

Manila: Jaguh tinju Filipina, Manny Pacquiao kemungkinan besar berjaya memenangi kerusi di Dewan Senat selepas kiraan undi tidak rasmi dikeluarkan semalam.

Pacquiao dilaporkan memperoleh lebih 15 juta undi selepas 93 peratus kawasan pengundian dikira.

Keputusan itu meletakkan Pacquiao di kedudukan kelapan dari semua calon untuk merebut 12 kerusi Senat.

Pacquiao dilaporkan memperoleh lebih tiga juta undi berbanding calon yang berada di kedudukan ke-13.

Keputusan rasmi pilihan raya itu dijangka diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pacquiao mengundi di kampung halamannya di wilayah Sarangani di selatan Filipina.

Dia kembali meraih sokongan selepas dikritik hebat pada Februari lalu apabila menggelar mereka yang mengamalkan hubungan sejenis lebih teruk daripada haiwan.

Pacquiao memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan kenyataannya itu tetapi menegaskan bahawa dia menentang perkahwinan sama jantina.

Jaguh tinju itu adalah ahli sukan paling popular di Filipina dan antara yang paling kaya di dunia.

Dia mewakili Sarangani dalam Dewan Perwakilan sejak Mei 2010.

Pacquiao bertanding di bawah tiket calon presiden, Jejomar Binay tetapi dia turut mendapat sokongan pemenang pilihan raya presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 8:15 AM