PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) menerima kunjungan hormat Ahli Senat Filipina Senator Emmanuel Pacquiao di pejabatnya Yayasan Kepimpinan Perdana. FOTO Bernama
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) menerima kunjungan hormat Ahli Senat Filipina Senator Emmanuel Pacquiao di pejabatnya Yayasan Kepimpinan Perdana. FOTO Bernama
BERNAMA

PUTRAJAYA: Jaguh tinju dunia daripada Filipina, Manny Pacquiao yang kini berada di Malaysia, semalam memberikan kejutan dan hadiah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena hari lahir ke-93.

Pacquiao yang juga seorang senator dan nama sebenarnya Emmanuel Pacquiao tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di Presint 8 di sini untuk melakukan kunjungan hormat ke atas perdana menteri, dengan membawa sekotak kek harijadi.

Jaguh tinju itu yang kelihatan begitu gembira ketika bersalaman dengan perdana menteri menghulurkan kotak kek berkenaan sambil mengucapkan 'Happy Birthday' kepada Dr Mahathir.

Dr Mahathir menyambut ulang tahun hari lahirnya pada Selasa.

Kemudiannya ketika Dr Mahathir keluar dari bilik tempat beliau mengadakan pertemuan dengan jaguh tinju itu selama setengah jam, sambil tersenyum beliau menunjukkan sarung tangan tinju berwarna kuning dihadiahkan Pacquiao yang terus disarungkan di tangannya, kepada wakil media yang menunggu untuk menemu bual jaguh tinju itu di lobi Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pacquiao yang juga dikenali sebagai 'Pacman' bakal berentap dengan juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Lucas Matthysse dari Argentina dalam pertarungan yang dianggap sebagai ‘Fight of the Champions’ di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad ini.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan perdana menteri, jaguh tinju itu berkata beliau mengagumi Dr Mahathir sebagai lelaki budiman dan pemimpin yang baik.

"Kunjungan hormat ini adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau (Dr Mahathir) atas sokongan kerajaan Malaysia terhadap acara (tinju) ini pada Ahad dan untuk mempunyai hubungan yang baik dengan perdana menteri,” katanya.

Pacquiao berkata, beliau juga telah menghantar kad undangan kepada Dr Mahathir untuk menyaksikan pertarungan itu bersama-sama Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang dijangka datang ke Malaysia.

Menurutnya, Dr Mahathir menyatakan beliau akan cuba sebaik mungkin memenuhi undangan itu.

"Saya sudah bersedia untuk pertarungan ini dan saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk menyaksikannya pada Ahad ini. Pertarungan ini pastinya hebat dan bakal dihadiri ribuan peminat tinju. Sudah tentu ia satu penghormatan dan keistimewaan untuk bertarung di sini, di Malaysia. Terima kasih," katanya.

Pacquiao turut mengundang warga Filipina yang berada di Malaysia untuk menonton pertarungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 3:50 AM