Mohamed Al Amin (tengah) bersama skuad Piala Thomas dan Piala Uber di Stadium Juara, semalam.
Mohamed Al Amin (tengah) bersama skuad Piala Thomas dan Piala Uber di Stadium Juara, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: “Terlalu awal untuk perkatakan mengenai ganjaran jika skuad negara berjaya membawa pulang Piala Thomas,” kata Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Menurut Mohamed Al-Amin, apa yang penting setiap pemain perlu memberi aksi terbaik mereka sepanjang kejohanan itu berlangsung di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.

“Tidak perlu lihat dari segi ganjaran kerana dengan menyebut mengenai ganjaran, kesannya mungkin berbeza. Mungkin wujud tekanan pula (kepada pemain).

“Kita (perlu) ambil selangkah demi selangkah. Apabila sampai ketikanya, kalau sekiranya perlu, akan ada cadangan (untuk adakan ganjaran) nanti.

“Apa yang penting, pemain kena fikir mereka membawa harapan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu media di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini semalam.

Skuad Piala Thomas negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei, diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman.

Pada edisi 2014, Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada Jepun pada perlawanan akhir yang berlangsung di New Delhi, India. Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur.

Bagi skuad wanita pula, pencapaian terbaik mereka dalam Piala Uber juga adalah pada 1992, apabila mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan mengejutkan Belanda 4-1.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:35 AM