HANNAH Yeoh. FOTO AIMAN DANIAL MOHD HOOD AKTHA
HANNAH Yeoh. FOTO AIMAN DANIAL MOHD HOOD AKTHA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap setiap pemain dapat bekerjasama antara satu sama lain untuk memburu kejuaraan Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, setiap dari pemain juga perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing agar mereka boleh bekerjasama dan memberikan hasil yang lebih positif sekali gus mengulangi kejayaan Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 1992 yang lalu.

Jelasnya lagi, perkara itu amat penting dan ia juga antara resipi kejayaan bagi sesebuah pasukan mendapatkan kemenangan dalam mana-mana kejohanan yang disertai.

"Saya berharap pasukan lelaki dan wanita akan mainkan peranan masing-masing dan paling penting ada kerjasama dalam pasukan dan mereka kena betul-betul bertarung. Bagi pihak negara, Piala Thomas dan Piala Uber sangat penting untuk peminat badminton Malaysia.

"Kita kena buat yang terbaik dan peluang itu (muncul juara Piala Thomas) saya berharap ia boleh berlaku. Apa yang penting, setiap pemain perlu berikan sumbangan mereka, lakukan tugasan mereka, itu yang sangat penting. Ia tidak boleh memikirkan diri sendiri sahaja.

"Itu yang terjadi pada 1992 (semangat bekerjasama dalam pasukan) apabila setiap pemain memainkan peranan sangat penting dalam pasukan," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Industri TVET Gig di Menara KBS, hari ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan ganjaran lumayan menanti barisan pemain badminton sekiranya membawa pulang Piala Thomas kembali ke Malaysia nyata meniup semangat barisan pemain.

Difahamkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjanjikan ganjaran lebih RM1 juta sekiranya skuad lelaki negara muncul juara Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Malah Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencabar barisan pemain yang mengalas tugas di Piala Thomas untuk bangkit mencipta sejarah baru sukan badminton negara sekali gus menamatkan kemarau 32 tahun menjulang trofi berprestij itu.

Katanya, misi bergelar juara bukan satu yang mustahil kerana beliau melihat pemain mempunyai kemampuan dan semangat patriotik untuk mempertahankan maruah negara sebagai kuasa badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 3:42 PM