MURID tadika ceria dapat memegang anak ayam.
MURID tadika ceria dapat memegang anak ayam.
ASHLEE (tiga dari kiri) bersama selebriti Scha Alyahya (tengah) dan penulis blog keibubapaan pada majlis pelancaran kempen.
ASHLEE (tiga dari kiri) bersama selebriti Scha Alyahya (tengah) dan penulis blog keibubapaan pada majlis pelancaran kempen.
AKTIVITI zoo mini menarik minat kanak-kanak.
AKTIVITI zoo mini menarik minat kanak-kanak.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Melihat si manja membesar dengan sihat dan mengikut perkembangan umur mereka sentiasa menjadi harapan setiap ibu bapa. Justeru, amat penting untuk ibu bapa memberikan anak mereka nutrisi lengkap seawal usia bayi selain rangsangan persekitaran yang membantu perkembangan otak dan mindanya.

Malah, menurut pakar perkembangan kanak-kanak, lima tahun yang pertama bagi si manja ternyata penting kerana itulah peringkat otak berkembang dengan lebih cepat berbanding peringkat yang lain sepanjang hayatnya.

Pada umur satu hingga dua tahun, sikap ingin tahu si manja mula berkembang. Mereka mula memerhati, menggenggam, bermain dan menunjuk. Satu keperluan yang penting untuk menyokong aktiviti ini adalah penglihatan. Mereka memerlukan nutrien seperti inositol, taurina dan vitamin A untuk menyokong perkembangan penglihatan mereka.

Si manja pada tahap ini tertarik kepada warna yang terang. Ibu bapa digalakkan untuk memberitahu dan menggambarkan warna atau bentuk objek yang diminatinya seperti ikan emas berwarna jingga dan bola merah berbentuk bulat.

Pada umur dua hingga empat tahun, si manja menjadi lebih aktif dan mula meneroka persekitaran mereka. Mereka mula memahami sesuatu perkara dengan merasa dan menyentuh segalanya berulang kali yang mencabar ketahanan semula jadi badan mereka.

Oleh itu, si manja memerlukan nutrien seperti selenium dan zink yang membantu menyokong imuniti dan menghalang mereka daripada jatuh sakit.

Terdapat banyak manfaat apabila si manja meneroka alam persekitaran di sekelilingnya kerana mereka dapat belajar mengenai perkara yang dialaminya. Ibu boleh memupuk aktiviti meneroka sebagai satu bentuk pembelajaran dengan meluangkan masa dengan alam semula jadi bersama-sama si manja. Lihatlah tumbuh-tumbuhan dan serangga yang terdapat di laman anda sendiri atau di taman berhampiran.

Pada usia empat hingga enam tahun, si manja menjadi lebih kreatif dan imaginatif. Mereka mula menggunakan kreativiti sebagai satu bentuk penyelesaian masalah yang memerlukan penyesuaian dan fleksibiliti pemikiran. Nutrien seperti tirosina, kolin dan vitamin D membantu menyokong pemikiran fleksibel dalam fungsi otak si kecil.

Ibu boleh membantu anak mengasah kreativiti mereka dengan menunjukkan cara untuk melukis dan mewarna benda yang dibayangkan atau menyediakan blok binaan dengan arahan yang mudah untuk di ikuti. Ibu akan terkejut dengan apa yang boleh dicipta oleh si manja.

Pada usia enam tahun dan ke atas, daya tumpuan dan ingatan yang baik penting untuk si manja terus belajar. Mereka juga mula belajar mengenai kepentingan sosial dan kemahiran lisan yang penting. Magnesium ialah nutrien penting untuk menyokong kemahiran ingatan kanak-kanak.

Melakukan kerja rumah atau membantu dalam kerja rumah mungkin membosankan bagi si manja. Bagaimanapun, apabila cabaran masa ditetapkan untuk tugasan itu, si manja anda akan teruja dan menjadi lebih fokus pada tugasan di tangan. Tetapkan had masa apabila anda meminta si manja untuk membantu melipat baju atau ketika menyiapkan kerja sekolahnya.

Interaksi positif

Pakar perunding pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil berkata, ibu digalakkan meluangkan masa untuk berinteraksi bersama si manja mereka. Selain menyediakan nutrisi yang sesuai untuk pelbagai tahap perkembangan, si manja juga memerlukan interaksi positif dengan ibu di luar rutin harian yang biasa.

“Dengarlah celoteh si manja anda yang serba ingin tahu apabila dia bertanyakan soalan dan jawab dengan bertanya kepadanya apa yang difikirkannya. Terokai dunia si manja anda, jadikannya penerokaan anda walaupun ia bermakna lebih banyak aktiviti fizikal untuk anda.

“Mulakan projek seni di rumah untuk memberi ruang dan membantu si manja anda melahirkan ekspresinya. Tiada kanak-kanak secara semula jadi yang memang bagus membuat kerja sekolahnya. Oleh itu, bimbing si manja seberapa banyak yang anda boleh.

“Interaksi positif dengan anak anda seperti yang dikatakan membolehkan anda untuk menjalin hubungan yang lebih erat, membantu si manja berasa yakin dan menyokong perkembangan keseluruhan si manja anda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan mengenai kepentingan bimbingan dan nutrisi yang diberi oleh ibu Malaysia untuk membantu menyokong perkembangan secara keseluruhan kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun dan ke atas sempena Kempen Dutch Lady dan Ibu, Langkah Demi Langkah Bersama di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi kempen itu, susu tepung rumusan untuk kanak-kanak, Dutch Lady Nutri Plan dengan 5X DHA memperkenalkan Dutch Lady 4-tahap Nutri Plan iaitu satu program menyeluruh khas untuk kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun dan ke atas bagi menyokong tahap kebijaksanaan dan pembelajaran mereka.

Pengarah Pemasaran Dutch Lady Milk Industries Berhad, Ashlee Ng berkata, syarikat itu menyedari kepentingan ibu memahami peranan dan hubungan antara bimbingan yang diberinya dan susu yang memberikan nutrisi, perlu digabungkan untuk memastikan tahap kebijaksanaan yang progresif untuk si manja.

“Apabila keperluan nutrisi disokong, golongan ibu boleh menumpukan perhatian dalam membimbing si manjanya untuk mencapai tahap perkembangan yang membantu membentuk perkembangannya pada masa akan datang dan mempunyai pencapaian dalam peringkat persekolahan, dalam kalangan keluarga dan sepanjang hayat secara umumnya,” katanya.

Bagi memadankan sokongan nutrisi dengan bimbingan, pakar pemakanan korporat Dutch Lady Malaysia, Loo Mei Fong berkata, pemberian nutrisi yang mencukupi pada tahap awal si manja penting untuk perkembangan dan fungsi otak yang optimum.

Loo juga menekankan kepentingan bagi ibu untuk meneruskan pemberian susu dalam pemakanan anak untuk memastikan mereka mendapat sokongan khasiat yang optimum sewaktu anak membesar.

“Memang menjadi kebiasaan kanak-kanak kurang minum susu apabila mereka mula mengambil makanan pepejal. Namun, susu ialah sumber penting nutrisi yang membantu menyokong perkembangan keseluruhan kanak-kanak.

“Kami menggalakkan ibu untuk meneruskan pemberian susu dan memastikan anak mereka sentiasa minum susu terutamanya pada usia satu hingga enam tahun dan ke atas agar membantu mereka mendapat manfaat daripada program nutrisi yang menyeluruh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 5:11 AM