SHAFIK Fauzan (dua dari kiri) melihat pokok kelapa yang diserang kumbang merah.
SHAFIK Fauzan (dua dari kiri) melihat pokok kelapa yang diserang kumbang merah.
Mohd Rafi Mamat


Usaha menyekat penularan pembiakan kumbang merah palma atau Red Palm Weevil (RPW), sejenis perosak tanaman yang menyerang pokok sawit dan kelapa kini giat dilakukan bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

Kumbang betina yang aktif membuat sarang pada umbut dan pangkal pelepah menyebabkan pokok akan mati dalam tempoh beberapa bulan. Serangga berkenaan juga mudah merebak ke pokok lain dalam kawasan sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pihaknya memandang serius ancaman kumbang merah palma yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit dan kelapa di negeri ini.

Justeru, katanya, usaha menyekat penularan pembiakan serangga berkenaan kini giat dilakukan agensi bertanggungjawab dengan kerjasama semua pihak termasuk pekebun.

Katanya, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian kini memberi perhatian serius terhadap ancaman serangga itu yang kini semakin merebak di beberapa negeri termasuk Pahang.

Menurutnya, kumbang merah palma yang mula dikesan pada 2010 dipercayai masuk ke negara ini menerusi pintu sempadan sebelum menyerang Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Serangga itu hanya menyerang pokok sawit, kelapa dan kurma dengan merosakkan bahagian umbut dan pangkal pelepah. Pokok akan mati dalam tempoh beberapa bulan selepas kehadirannya.

“Kerjasama petani dan pengusaha kebun diperlukan bagi memastikan kumbang merah palma tidak terus menular. Mereka perlu mengambil langkah pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar 3P (Pembendungan, Pengawalan dan Penghapusan) kumbang merah palma di Pusat Latihan Pertanian Inderapura, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Mohd Amin Hosnan dan Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Faridah Aini Muhammad.

Program anjuran Jabatan Pertanian Pahang itu disertai lebih 100 peserta terdiri daripada pekebun dan kakitangan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Shafik Fauzan berkata, pekebun kelapa dan sawit perlu segera menghubungi Jabatan Pertanian jika mendapati tanaman mereka mati dengan ada tanda serangan kumbang merah palma.

“Saya difahamkan kumbang itu ditemui di kebun kelapa di Pekan. Bagi mengelak ia merebak, langkah pencegahan perlu dilakukan segera menggunakan teknologi yang ada.

“Kita tidak mahu kejadian serangan serangga berkenaan terhadap kebun kelapa di Terengganu menyebabkan kerugian besar kepada pekebun berlaku di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amin berkata, beliau mengarahkan pegawai pertanian daerah supaya memantau ancaman kumbang merah palma bagi memastikan ia tidak terus merebak di negeri ini.

Katanya, pemeriksaan perlu dilakukan segera jika ada pokok kelapa dan sawit milik individu dan swasta mengalami kerosakan seperti bahagian pucuk kering dan terkulai, seterusnya pokok mati.

“Kita tidak mahu serangan serangga berkenaan terus menular hingga menyebabkan banyak pokok mati, seterusnya menyebabkan kerugian besar.

“Serangan meluas serangga terhadap pokok kelapa di Terengganu menjadi pengajaran berguna kepada kita supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan ia tidak berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati serangga itu yang mengambil masa 174 hari untuk membiak turut menyerang pokok kurma, salak dan beberapa jenis pokok hiasan jenis palma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 5:01 AM