JOHAN Qari, Muhamad Husaini Mahmur, 24, dan Naib Johan Qariah, Siti Husna Hassan, 24, bergambar bersama piala yang dimenangi selepas menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat ASEAN 2016 yang berlangsung di Bangkok, Thailand ketika tiba di KLIA. FOTO Fariz Iswadi Ismail
JOHAN Qari, Muhamad Husaini Mahmur, 24, dan Naib Johan Qariah, Siti Husna Hassan, 24, bergambar bersama piala yang dimenangi selepas menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat ASEAN 2016 yang berlangsung di Bangkok, Thailand ketika tiba di KLIA. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Qari dan qariah negara berjaya mengharumkan nama negara apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara dan naib juara pada Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat ASEAN 2016 di Bangkok, Thailand, malam tadi.

Qari negara, Muhamad Husaini Mahmur, 24, berkata, pertandingan kali ini adalah satu kelebihan bagi dirinya kerana pihak penganjur menggunakan format pertandingan yang sama digunakan di negara ini.

"Setiap peserta mempunyai kelebihan dari segi suara tinggi dan lahjah yang baik, namun saya berjaya menguasai taranum dan tajwid untuk dinobatkan sebagai juara.

"Format pertandingan yang digunakan oleh penganjur membuka peluang dan ruang untuk saya lebih yakin mengalunkan bacaan al-Quran ketika pertandingan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, qariah negara, Siti Husnaa Hassan, 24, berkata, latihan yang konsisten adalah salah satu rahsia kejayaannya sehingga dinobatkan sebagai naib juara bagi pertandingan ini.

"Persaingan kali ini agak mencabar kerana kebanyakan peserta adalah antara yang terbaik di negara masing-masing dan mereka juga mempunyai kelebihan tersendiri.

"Walaupun saya kurang sihat, namun faktor kesihatan tidak menjadi penghalang dan latihan yang konsisten menjadi salah satu penyumbang untuk menerima kejayaan ini," katanya.

Berikutan kejayaan itu, qari dan qariah negara masing-masing membawa pulang piala pertandingan dan wang tunai RM5,634 (50,000 baht) bagi juara dan RM3,380 (30,000 baht) bagi naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 2:54 PM