JOHAN Qari dari Bahrain Mohamed Sameer Mohamed Magahed (kiri) dan Johan Qariah dari Malaysia Sofizah Mousin (kanan) bergambar pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO BERNAMA

BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan tahniah kepada dua wakil Malaysia yang mencatatkan kemenangan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62, semalam.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada wakil negara kita yang berjaya menyaingi peserta antarabangsa lain," katanya menerusi laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

Qariah negara Sofizah Mousin dinobatkan juara bagi kategori wanita, manakala Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan muncul naib johan qari.

Peserta Bahrain Mohamed Sameer Mohamed Magahed diumumkan johan qari.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan hadiah kategori qari manakala hadiah kategori qariah dikurniakan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

MTHQA edisi ke-62 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menampilkan 36 peserta dari 28 negara melibatkan 24 qari (lelaki) dan 12 qariah (wanita). Ia kembali dianjurkan selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

"Saya berharap majlis agama seperti ini akan terus dilaksanakan agar dapat menyatupadukan ummah di seluruh dunia," kata Ismail Sabri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 5:34 PM