MOHD Marmizi memeriksa nelayan asing yang ditahan. FOTO Shamsudin Husin
MOHD Marmizi memeriksa nelayan asing yang ditahan. FOTO Shamsudin Husin
Shamsudin Husin


Chukai: Dua bot nelayan Vietnam bersama dua tekong dan 13 awak-awak yang leka menangkap ikan di perairan negara, gagal lolos apabila dipintas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di lokasi 130 dan 125 batu nautika dari Kuala Kemaman, Rabu lalu.

Pengarah Pengkalan Maritim APMM Kemaman, Leftenan Komander Maritim Mohd Marmizi Md Nor berkata, bot pertama ditahan pada 9 pagi kira-kira 130 batu nautika dari Kuala Kemaman dan bot kedua ditahan 125 batu nautika dari Kuala Kemaman pada jam 11.20 pagi, 28 April lalu.

"Bot terbabit dikesan ketika kapal peronda APMM bersama 15 anggota sedang melakukan rondaan rutin Op Perkasa Timur sekitar perairan Terengganu.

"Sejurus kemudian, anggota kami bertindak memintas bot terbabit di mana nelayan warga asing itu didapati sedang asyik menangkap ikan di perairan negara.

"Semua yang ditahan berumur antara 18 hingga 47 tahun dipercayai warga Vietnam dan hasil pemeriksaan keatas kedua-dua bot mendapati terdapat 150 kilogram ikan dan 15 kilogram sotong kering," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 8:43 PM