Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sebanyak 490 kotak rokok putih dan keretek membabitkan nilai dan cukai RM3.4 juta dirampas selain empat lori, satu van dan satu jentera pengangkat disita dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kota Kemuning, Shah Alam, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, rampasan dalam enam serbuan berasingan itu menahan sembilan lelaki termasuk tiga warga asing.

Beliau berkata, semua suspek berusia 21 hingga 56 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Dalam serbuan pertama jam 4 petang, kastam menyerbu premis yang disyaki dijadikan stor simpanan minuman keras yang belum lulus kastam di kawasan perindustrian Kota Kemuning.

“Kami merampas 552 karton minuman keras dan menyita lori. Semua barang itu ditaksirkan bernilai RM43,148 membabitkan cukai RM96,721.56.

“Tujuh lelaki termasuk tiga warga asing yang berada dalam premis itu ditahan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, setengah jam selepas serbuan pertama, pihaknya menjalankan serbuan ke atas sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran tempat serbuan pertama.

Hasil pemeriksaan ke atas lori itu, satu ruang yang diubah suai sebagai tempat penyimpanan barang dan kastam menemui 534 karton minuman keras bernilai taksiran RM22,748 membabitkan cukai RM88,943.04.

Khazali berkata, dalam serbuan ketiga hari sama jam 5 petang, pihaknya merampas 85 bungkusan yang disyaki mengandungi rokok putih dan rokok keretek pelbagai jenama yang belum lulus kastam di sebuah premis berasingan di Kota Kemuning, Shah Alam.

“Turut dirampas, satu van yang berisi keretek yang diletakkan di dalam premis itu. Semua rampasan itu ditaksir bernilai RM74,416 dan cukai RM500,940.96.

“Dalam serbuan keempat pula, kastam menahan pemandu lori warga tempatan berusia 56 tahun dan merampas 114 karton minuman keras pelbagai jenama yang disyaki belum lulus kastam bernilai RM4,669.20 dengan cukai membabitkan RM17,889.12.

“Satu jentera pengangkat bernilai RM20,000 dirampas kerana dipercayai digunakan memunggah barang seludup,” katanya.

Beliau berkata, pada jam 5.40 petang, kastam menahan seorang pemandu lori warga tempatan berusia 38 tahun dalam serbuan kelima dan merampas 225 karton minuman keras yang disembunyikan di dalam ruang diubah suai di bahagian belakang satu lori ditemui di Kota Kemuning.

Katanya, rampasan dalam serbuan kelima itu ditaksirkan bernilai RM9,585.00 dengan cukai membabitkan RM38,135.13.

“Dalam serbuan keenam jam 6.15 petang, kastam menjalankan pemeriksaan ke atas premis bersebelahan tempat serbuan kelima itu dan menemui 405 kotak rokok putih disyaki belum lulus kastam.

“Semua rampasan itu ditaksir bernilai RM202,500 dan cukai membabitkan RM2,263,950.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan diminta menghubungi pejabat Penguatkuasaan Kastam yang berdekatan atau talian bebas tol 1-800-88-8855,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:11 AM