Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas 13,350 karton rokok tidak sah cukai bernilai RM2.74 juta di tempat letak kenderaan sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Rokok berkenaan dimuatkan dalam sebuah lori tiga tan dan dipercayai ditinggalkan di situ.

Komander AKSEM Chuping, Asisten Superintendan Azizan Saman berkata, serbuan dilakukan pada 6 pagi diketuai Inspektor Che Azrey Izaney selepas menerima maklumat risikan.

“Tiada pihak menuntut rokok itu walaupun anggota menunggu lebih dua jam.

“Kenderaan ditinggalkan tidak berkunci dan terdapat 271 kotak berisi ribuan karton rokok tidak sah cukai yang diletakkan pada belakang lori,” katanya pada sidang media di Kompleks AKSEM Kuala Perlis, hari ini.

ROKOK seludup yang dirampas APMM menerusi Op Pluto Timur di Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM.
ROKOK seludup yang dirampas APMM menerusi Op Pluto Timur di Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM.

Azizan berkata, hasil pemeriksaan nombor pendaftaran lori mendapati kenderaan itu berasal dari Terengganu dan disyaki disewa khas bagi membawa kesemua rokok berkenaan.

“Bagaimanapun kita percaya sindiket meletakkan kesemua barangan dalam tempoh kurang 24 jam untuk diberikan kepada pengedar, sebelum rokok diedar ke beberapa negeri di utara Semenanjung.

“Ini berikutan permintaannya yang tinggi selain dijual pada harga yang murah iaitu antara RM5 ke RM8 sekotak,” katanya.

Menurutnya, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis untuk tindakan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 7:12 PM