Zulkalnain bersama kakitangan syarikat penerbangan Rayani Air ketika sidang media untuk membela nasib pekerja Rayani Air di pejabat Rayani Air, Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Zulkalnain bersama kakitangan syarikat penerbangan Rayani Air ketika sidang media untuk membela nasib pekerja Rayani Air di pejabat Rayani Air, Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Nursyahirah Marzuki

Sepang: Kira-kira 400 kakitangan Rayani Air akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Ravi Alagendrran dan isterinya Karthiyani Govindan sekiranya tidak membayar gaji mereka sebelum Selasa ini.

Pengurus Operasi Rayani Air Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Zulkalnain Azdan berkata, tunggakan gaji bagi bulan Mac itu mencecah sehingga RM1.5 juta malah tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang mereka berkhidmat di syarikat terbabit.

"Beliau (Ravi) enggan berjumpa dan menjelaskan kepada kami mengenai tunggakan gaji dan ini bukan kali pertama beliau (Ravi) lambat membayar gaji kami.

"Tindakan undang-undang ini adalah untuk membela nasib pekerja Rayani Air yang diabaikan oleh pihak pengurusan syaikat yang menjejaskan kehidupan seharian pekerja untuk menyara keluarga" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, Ravi juga tidak menjelaskan caruman KWSP sebanyak RM 900,000 kepada kakitangan Rayani Air sepanjang mereka bekerja sejak September tahun lalu yang menyebabkan kesemua mereka berdepan masalah kewangan.

Sebelum ini, Rayani Air digantung perkhidmatannya oleh Jabatan Penerbangan Awam baru-baru ini selepas mengalami pelbagai masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan selama tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 6:23 PM