Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Kes saman fitnah menuntut ganti rugi lebih RM1 juta yang dikemukakan oleh ahli perniagaan J Deepak terhadap bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik berhubung penerbitan buku dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar membatalkan saman itu selepas Deepak gagal hadir sedangkan hari ini kes itu sudah ditetapkan untuk perbicaraan.

Kes ditetapkan untuk perbicaraan selama tiga hari bermula hari ini selepas proses mediasi sebelum ini gagal mencapai sebarang penyelesaian. Tiada sebarang kos ditetapkan.

Pada 11 Mac tahun lalu, Deepak memfailkan saman itu selepas mendakwa Sabbaruddin memberikan bahan yang dijadikan asas oleh penulis buku, Shahbudin Husin untuk mengarang buku bertajuk 'Membongkar Skandal Deepak dan Bank Rakyat, Dari Isi Hati Tan Sri Sabbaruddin Chik.'

Peguam A K Sharma mewakili Deepak manakala peguam Adnan Seman mewakili Sabbaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:31 AM