SITI Nordiana hadir untuk perbicaraan kes saman fitnah terhadap lima individu termasuk Lan Solo dan Syura di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
SITI Nordiana hadir untuk perbicaraan kes saman fitnah terhadap lima individu termasuk Lan Solo dan Syura di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Kegagalan proses mediasi tuntutan kes saman fitnah pelakon dan penyanyi Siti Nordiana, 36, terhadap lima rakannya dilanjutkan kepada perbicaraan penuh bermula hari ini di Mahkamah Seksyen, di sini.

Siti Nordiana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias ketika ditemui selepas prosiding enggan berkongsi sebarang butiran yang menjadi punca kegagalan mediasi terbabit.

"Program mediasi tu saya tak boleh nak cakap apa yang dibincangkan. Kami menghormati kedua-dua pihak. Yang pasti tak ada jalan penyelesaian ketika mediasi itu. Jadi kita terus ke mahkamahlah," katanya.

Peguam yang mewakili Siti Nordiana, Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates berkata, kes itu terpaksa dilanjutkan kepada perbicaraan demi menghormati -kedua-dua pihak.

"Sebenarnya plaintif dan defendan sudah menjalani proses mediasi atas saranan mahkamah tetapi tiada kata persetujuan dan penyelesaian antara mereka. Jadi terpaksa sambung untuk perbicaraan penuh.

"Mengenai proses mediasi, apa yang boleh saya komen memang tak berjaya. Ini disebabkan kami menghormati pihak sebelah sana (defendan)," katanya.

Sementara itu, peguam Azlan Razak dari Azlan Razak & Associates yang mewakili Lan Solo, Syura dan Nur Shiela berkata, terma-terma yang dibincangkan kedua pihak tidak dipersetujui, jadi terpaksa dibawa kepada perbicaraan.

"Saya minta maaf. Kedua-dua pihak dan mahkamah bersepakat untuk tidak mendedahkan apa yang dibincangkan sepanjang proses mediasi," katanya.

Terdahulu, Siti Nordiana memfailkan saman terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.

Dia selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi atau Aida G.

Dalam saman itu, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 3:48 PM