Hazsyah Abdul Rahman

Kinabatangan: Tiga puluh empat PATI ditangkap manakala tiga lelaki lagi ditahan bersama senjata api dan peluru dalam operasi di Maxland Tongod,di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira 10 malam itu, semua PATI berumur 12 hingga 51 tahun ditangkap kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden A Sahak Rahmat, berkata ia operasi bersepadu anggota Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"PATI ditahan terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita,” katanya. Selain itu, katanya, polis turut menahan tiga lelaki selepas menemui selaras bekakok dan tiga butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di lokasi sama,” katanya.

Sehubungan itu, Sahak berkata, ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 1:59 PM