Pendatang asing tanpa izin (pati) yang ditahan dalam Op Lejang. FOTO IHSAN PDRM
Pendatang asing tanpa izin (pati) yang ditahan dalam Op Lejang. FOTO IHSAN PDRM
Ruwaida Md Zain


Klang: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dikesan mengenakan bayaran antara RM1,200 hingga RM2,500 seorang untuk dibawa keluar dari negara ini menggunakan lorong tikus.

Sindiket yang didalangi seorang lelaki warga Indonesia berusia 50-an itu turut menjadikan hotel bajet di sekitar bandar Klang sebagai lokasi transit sebelum dibawa keluar menggunakan jalan laut.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menyerbu sebuah hotel bajet di sini kira-kira 12.30 tengah hari pada Sabtu lalu yang menyaksikan 37 Pati warga Indonesia ditahan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, semua Pati terbabit ditahan ketika bersembunyi dalam tujuh bilik di hotel bajet berkenaan yang disewa oleh dalang sindiket.

Katanya, serbuan turut menahan dalang sindiket terbabit serta dua lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai tekong yang menguruskan Pati berkenaan.

"Pati yang ditahan terdiri daripada 27 lelaki dan 10 wanita warga Indonesia berusia antara 10 bulan hingga 50an.

"Semua pati yang ditangkap dalam proses untuk balik ke Indonesia dan visa mereka sudah tamat tempoh serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Ketua sindiket yang ditahan juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan siasatan mendapati sindiket sudah beroperasi kira-kira enam bulan lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sindiket berkenaan berperanan mengutip wang daripada Pati serta menguruskan tempat tinggal sementara dan mengaturkan tarikh sesuai untuk pulang ke negara asal dengan bot.

"Bayaran yang dikenakan adalah antara RM1,200 sehingga RM2,500 setiap orang mengikut jarak perjalanan.

"Modus operandi sindiket ini adalah memperkenalkan diri sebagai ejen yang boleh menguruskan Pati balik ke Indonesia dengan mengenakan bayaran tertentu serta menjadikan hotel sebagai transit," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 2:42 PM