RUMAH panjang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
RUMAH panjang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kanowit: Seramai 78 mangsa daripada 10 keluarga hilang tempat tinggal apabila Rumah Panjang Anthony Ajut, Nanga Nirok di sini musnah dalam kebakaran, kira-kira 8 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit mengambil masa lebih lima jam untuk pergi ke lokasi kebakaran menggunakan jalan air dan darat.

Menurutnya, perjalanan dari Kanowit ke Majau mengambil masa 20 minit menggunakan bot bomba, manakala perjalanan jalan darat dari Majau ke Ngemah mengambil masa dua jam.

"Perjalanan diteruskan dari Ngemah ke Nanga Neruk menggunakan bot panjang melalui Sungai Ngemah mengambil masa tiga jam untuk sampai ke lokasi kejadian.

"Perjalanan yang jauh dan keadaan gelap menyukarkan pasukan penyelamat pergi ke lokasi kejadian. Bomba hanya meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi," katanya.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui Ahli Dewan Undangan Ngemah, Alexander Vincent pada 8.17 malam.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati rumah panjang itu sudah musnah 100 peratus.

"Pasukan forensik bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 9:58 AM