MENGGABUNGKAN pelakon baru Erwin dan Shiqin.
MENGGABUNGKAN pelakon baru Erwin dan Shiqin.
Sudirman Mohd Tahir


Mengangkat tema cinta, filem terbitan TouchTronics Entertainment berjudul Warna Cinta Impian dilihat mampu menarik minat penggemar filem Melayu apabila mula ditayangkan esok.

Biarpun filem ini menampilkan dua pelakon baru sebagai watak utama iaitu Erwin Shah Dawson dan Shiqin Kamal, penampilan bekas hero serta heroin kesayangan ramai, Awie dan Erra Fazira pasti mampu menjadi faktor penarik.

Penerbitnya G Ravindran berkata, pemilihan Awie dan Erra sudah lama difikirkan apatah lagi mahu mengembalikan semula nostalgia filem Sembilu.

“Ketika filem ini masih dalam perancangan, kami sudah memikirkan Awie dan Erra sebagai watak abang serta kakak kepada dua pelakon utama.

“Walaupun mereka sekadar watak pembantu, filem ini turut memaparkan kisah cinta mereka bermula seperti dalam filem Sembilu.

“Memang kami mahu mengembalikan nostalgia itu kerana yakin Awie dan Erra serta filem berkenaan masih mempunyai peminat sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Ravindran, pembabitan Awie dan Erra disifatkan sebagai satu penghormatan buat produksi filem ini.

Biarpun Awie dan Erra hanya memberi kata putus selepas empat bulan, Ravindran berpuas hati de­ngan komitmen diberikan.

Filem yang menelan belanja RM2.7 juta ini turut menyelitkan eleman Hindustan pada jalan ceritanya.

Disebabkan itu, ramai beranggapan filem yang menjalani penggambaran di Jaipur, India sebagai salah satu lokasi meniru filem Bollywood, Dilwale.

“Tidak adil untuk membandingkan filem ini dengan Dilwale. Ini kerana filem lakonan Shah Rukh Khan itu muncul selepas kami siap menjalani penggambaran pada 2014.

“Jangan hanya kerana watak dan elemen Hindustan itu membuatkan penonton memberi kesimpulan sedemikian. Saranan saya, datang dan tengok dulu kemudian baru boleh komen,” katanya.

Ravindran berkata, pihaknya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran kutipan namun mengharapkan mereka tidak rugi.

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang menjalani penggambaran bermula Ogos 2014 itu, pengarahnya N S Krishna berkata, mereka tidak berdepan sebarang masalah besar.

“Tidak dinafikan setiap produksi pasti berdepan masalah. Apa yang kami alami cuma masalah kecil dan ia tidak mengganggu kelancaran penggambaran.

“Namun, satu perkara yang membimbangkan kami adalah menunggu persetujuan daripada Awie dan Erra untuk berlakon dalam filem ini.

“Apabila watak dan kisah cinta mereka ‘dihidupkan’ dalam filem ini, kami tidak boleh menggantikannya dengan orang lain. Disebabkan itu kami tetap sabar menunggu meski dalam tempoh yang lama. Watak itu memang dicipta untuk mereka,” katanya.

Menurut Krishna, Awie dan Erra juga mengadakan perbincangan bagi merombak skrip dan jalan cerita bagi disesuaikan dengan keadaan semasa.

“Pada mulanya watak yang dijayakan ialah ibu dan bapa, tetapi mereka memaklumkan belum bersedia melakonkan watak sedemikian.

“Jadi, selepas melakukan perbincangan bersama, pasukan bersetuju merombak semula skrip dan jalan cerita,” katanya.

Selain itu, cabaran lain yang dihadapi semasa proses penggambaran adalah berlari di padang pasir membabitkan babak antara Shiqin dan Erwin.

Selain Malaysia, filem ini memilih beberapa lokasi menarik di luar negara seperti India dan Australia sebagai latar penceritaan.

Sementara itu, Awie, 48, berkata, kesudiannya berlakon dalam filem bukan sekadar melengkapkan jalan cerita semata-mata, sebaliknya mahu memastikan pembabitannya bersama Erra adalah berbaloi.

“Apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini, saya bertanya dulu apa tujuan mereka mahu menyatukan saya dan Erra. Tujuan mereka adalah untuk mengembalikan nostalgia filem Sembilu. Lalu, saya meminta untuk meneliti skrip.

“Saya tidak mahu kemunculan kami dipergunakan untuk tujuan perniagaan. Sebaliknya saya mahu penampilan kami memberi impak kepada jalan cerita ini. Sekurang-kurangnya misi mereka tercapai,” katanya.

Filem Warna Cinta Impian mengisahkan percintaan dan konflik kehidupan dunia moden antara Daniel (Erwin) seorang arkitek dan Diana (Shiqin) seorang peguam.

Tanpa sebarang rasa cinta dalam diri, kedua-dua mereka disatukan atas pilihan keluarga. Bagaimanapun, keegoan dan kegagalan percintaan lalu menimbulkan pelbagai konflik dalam kehidupan mereka.

Konflik bertambah apabila kemunculan Erra (Erra Fazira) kakak angkat Daniel yang menetap di Australia menggamit kena­ngan silam cintanya bersama Awie (Awie) yang kecundang lebih dua dekad lalu.

Erra dan Awie mengambil keputusan untuk mengetepikan duka lama demi menyelamatkan perkahwinan Daniel dan Diana.

Selain Erwin Shah dan Shiqin, filem ini turut menampilkan Azlee Khairi, Nazeera Sardi dan Fad Bocey serta penampilan khas Datuk David Arumugam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:17 PM