Ardini Sophia Sina


Ramai penonton setia drama Cinta Si Wedding Planner yang disiar menerusi slot Akasia, TV3 sebelum ini memuji watak antagonis yang dilakonkan pendatang baru, Shiqin Kamal.

Mereka memuji keberkesanan lakonan dipersembahkan wanita berusia 25 tahun ini, sehingga ada yang memberikan komen di laman sosial menyatakan kebencian mereka pada karakter Shira yang dibawakan.

Walaupun sudah dinyatakan, kebencian timbul hanya membabitkan karakter atau watak dilakonkan Shiqin, namun mengejutkan apabila ada segelintir yang mengambil serius perkara itu. Mereka beranggapan bahawa aktres ini sememangnya mempunyai perangai sama seperti apa yang dipersembahkan dalam menghayati watak Shira.

Sewaktu ditemui baru-baru ini, kata Shiqin, dia akui kecewa dengan situasi itu. Apatah lagi ada segelintir peminat memberikan komen kasar. Membaca daripada gaya penulisan dimuat naik di laman sosial miliknya, aktres ini percaya mereka adalah daripada golongan muda dan baru belasan tahun. Tidak mahu situasi itu mengganggu hidupnya, Shiqin mengambil pendekatan menyekat akaun mereka daripada terus menjadi pengikut (follower) Instagram miliknya.

“Lebih baik saya sekat akaun mereka daripada terus sakit hati dan menimbulkan kekecohan di Instagram. Individu yang tidak bertanggungjawab ini bukan sekadar memberikan komen negatif tetapi ada yang sampai mencarut. Lebih menyedihkan kebanyakan yang menulis dan mengeluarkan perkataan kurang baik itu adalah pelajar sekolah.

“Saya pelik, mereka punya banyak masa untuk memberikan komen seperti itu? Mereka tidak ke sekolahkah? Saya tidak layan pun komen seperti itu, dalam fikiran saya menganggap mereka masih muda dan sedang belajar untuk memahami erti kehidupan sebenar.

“Bagaimanapun, saya gembira dengan penerimaan penonton membabitkan lakonan saya. Ia adalah permulaan untuk saya mengukuhkan tapak sebagai pelakon disegani satu hari nanti. Saya sangat berharap ia akan membuka peluang untuk saya,” katanya.

Pada awal kemunculan, Shiqin memulakan kembara seni dengan membintangi beberapa filem termasuk Lagenda Budak Setan, Mantra, Uncle Usin dan Dilarang Masuk. Walaupun kerap muncul di layar perak, wanita ini tidak pernah memilih tawaran yang diberi.

Bagaimanapun, dia akui lebih selesa berlakon filem jika dibandingkan dengan drama dan telefilem. Pun begitu, dia tidak meletakkan dirinya sebagai pelakon hebat. Katanya, dia tidak menolak andai ditawarkan peluang membintangi drama mahupun telefilem.

“Saya bukanlah pelakon hebat yang mampu memberikan reaksi spontan apabila diminta. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dan pembabitan dalam dunia lakonan pun masih setahun jagung. Menilai pada sudut itu membuatkan saya kurang yakin berlakon dalam drama mahupun telefilem.

“Kalau filem ia berbeza kerana selalunya akan diadakan sesi latihan sebelum memulakan penggambaran. Latihan itulah yang membantu saya untuk membina karakter dan secara tidak langsung mengembangkannya. Saya sangat mementingkan persediaan dan yakin berlakon apabila benar-benar memahami karakter.

“Saya akan lakukan apa saja bagi memastikan saya dapat memberikan lakonan berkualiti. Bagaimanapun, saya bukanlah seorang yang hanya memilih filem semata-mata. Ada peluang, saya akan terima tawaran produksi televisyen. Semua itu membantu mengukuhkan kerjaya saya,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang, pemilik nama sebenar Nur Ashiqin Mohd Kamal terus berusaha menggapai cita-citanya. Sejak aktif semula, dia berasa sukar mendapatkan kembali perhatian yang suatu ketika dulu pernah diperolehnya.

Namun, Shiqin tidak berputus asa. Pembabitan dalam drama sedikit sebanyak membantu membuka laluannya dalam bidang seni. Kini dia sibuk dengan penggambaran drama terbaharu.

“Tawaran yang datang tidaklah mencurah-curah tetapi syukurlah ada juga peluang yang diberi. Saya baru selesai penggambaran Ada Hantu Malam Raya untuk tayangan Aidilfitri nanti. Minggu depan pula saya akan terbabit dengan penggambaran drama Seharum Rindu musim kedua. Drama itu untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Selain itu, saya juga bakal muncul dalam filem Superbike. Dalam filem itu saya berambut pendek dan menunggang motosikal berkuasa besar. Dalam masa terdekat ini filem Warna Cinta Impian akan ditayangkan di pawagam.

“Saya berharap filem itu membantu melonjakkan nama saya di persada seni. Selepas senyap seketika, ramai yang melupakan kehadiran saya. Ini antara usaha untuk meletakkan nama saya kembali sebaris pelakon lain,” katanya.

Filem Warna Cinta Impian bakal menemui peminat filem tempatan pada 31 Mac ini. Shiqin mengakui berdebar menantikan maklum balas daripada penonton. Menerusi naskhah itu, dia berganding dengan Erwin Shah Dawson, Erra Fazira, Awie, Azlee Khairi dan Nelydia Senrose.

Pernah berlakon dengan Awie dalam filem Left Wings membuatkan Shiqin tidak terlalu gementar berlakon di samping pelakon senior itu. Namun kali pertama berdepan dengan Erra Fazira dirasakan itu adalah cabaran besar buat dirinya.

“Saya pernah berlakon dengan Awie. Walaupun ini baru kali kedua, saya tahu cara kerja dia. Namun, ini adalah kali pertama dengan Erra. Semua orang tahu dia adalah primadona. Mestilah saya takut.

“Alhamdulillah, suasana di lokasi banyak membantu saya selesa berlakon bersama. Walaupun Erra pelakon hebat, dia tidak lokek ilmu dan banyak membantu memperbaiki lakonan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:04 AM