Syanty Octavia Amry


Meskipun baru pertama kali berkongsi pentas, persembahan lima penyanyi hebat dari tiga negara ini langsung tidak mengecewakan.

Gandingan Hafiz Suip, Hazama, Afgan, Judika dan Taufik Batisah dari Malaysia, Indonesia dan Singapura ini berjaya menghiburkan penonton dalam Konsert 5 Divo di Stadium Malawati, Shah Alam, malam kelmarin.

Biarpun kehadiran penonton di stadium tertutup itu kurang memberangsangkan, tetapi persembahan bertenaga lima bintang itu berjaya menghiburkan penonton yang turut sama menyanyi.

Bertemakan 3 Negara, 5 Divo dan 1 Pentas, Taufik tampil sebagai pembuka tirai dengan lagu popularnya, Awak Kat Mana? tepat jam 9.10 malam sebelum Hafiz tampil dengan lagu Noktah Cinta.

Kemunculan Afgan yang tampil dengan lagu nyanyian Datuk Sheila Majid, Ku Mohon nyata menggamatkan lebih 5,000 peminat di stadium berkenaan.

“Saya ‘seram’ nak menyanyikan lagu ini kerana penyanyi asalnya turut sama menonton konsert ini,” kata Afgan merujuk kepada Sheila yang turut hadir menyaksikan konsert itu sambil disambut sorakan penonton.

Seterusnya kemunculan Hazama dengan lagu Penglipur Lara dan Judika menerusi lagu Bukan Rayuan Gombal terus menggamatkan stadium.

Apa yang pasti, selain lagu popular, kelima-lima mereka memiliki vokal mantap dan memang dinanti-nantikan penonton.

Selepas masing-masing tampil dengan sebuah lagu, Hafiz kembali ke pentas dengan lagu Bahagiamu Deritaku dan Awan Nano.

Kehebatan Hafiz tidak perlu dipertikaikan lagi. Meskipun tersasar ketika menyanyikan lagu Awan Nano, dia tetap profesional meneruskan persembahan sehingga habis.

“Lega apabila persiapan seminggu yang dijalankan selesai sudah,” katanya.

Persembahan diteruskan dengan Taufik menerusi lagu Usah Lepaskan dan Menakluk Cinta, Afgan (Knock Me Out dan Jodoh Pasti Bertemu), Hazama (Malaikat dan Relakan Jiwa) dan Judika (Bukan Dia Tapi Aku dan Aku Yang Tersakiti).

Apa yang pasti, ‘pemenang’ pada malam itu ialah Judika yang menampilkan vokal cukup mantap.

Kemunculannya memang dinanti-nantikan penonton dan dia nyata tidak mengecewakan.

Tidak hanya mempersembahkan nyanyian solo, penonton turut dihiburkan dengan persembahan duet daripada Taufik dan Afgan yang mendendangkan lagu Love Never Felt So Good manakala Hazama dan Judika menyanyikan lagu Sampai Mati dan Setengah Mati.

Kelima-lima mereka mengakhiri konsert dengan medley lagu Dealova nyanyian asal Once dan Lelaki Ini daripada Anuar Zain.

Menariknya, menerusi lagu Lelaki Ini masing-masing berusaha meniru suara Anuar Zain.

Bertemu selepas konsert, mereka berkata, perancangan menyanyikan lagu Anuar dengan meniru suaranya bukan sengaja dibuat-dibuat.

“Ketika sedang membuat latihan, saya berasakan suara seperti tidak kena dengan lagu berkenaan. Saya cuba meniru suara Anuar dan tidak sangka ia disahut oleh rakan-rakan yang lain.

“Terasa seronok apabila kami menyampaikannya di pentas, malah penonton juga sangat terhibur,” kata Hazama.

Afgan dan Judika pula, walaupun masing-masing kurang sihat masih mampu memberikan persembahan yang menarik dan boleh dikatakan dua bintang Indonesia ini mendapat tepukan paling gemuruh ketika sedang beraksi di pentas.

“Saya lega. Walaupun tidak berapa sihat malah mengalami batuk ketika menjalani latihan, melihat penonton yang hampir histeria menguatkan semangat saya untuk memberikan yang terbaik buat mereka.

“Terasa diri dihargai apatah lagi dapat menyanyi dengan muzik yang diketuai oleh Datuk Ramli MS sesuatu yang istimewa buat saya,” kata Afgan.

“Ini konsert pembukaan 2016 buat saya di sini. Satu kebanggaan dan saya puas apabila ianya selesai walaupun ketika latihan suara saya hampir hilang,” kata Judika pula.

Bagi Taufik yang mewakili artis Singapura, dia gembira atas peluang yang diberikan.

“Dapat bergandingan dengan artis bernama besar dan muzik diiringi oleh orang yang hebat seperti Datuk Ramli cukup memberi kepuasan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, selaku penganjur, Laugh Out Loud Entertainment yang diketuai oleh Dafi berkata, melihat sambutan menggalakkan yang diterima pada malam itu, Dia berhasrat mengadakan konsert jelajah 5 Divo.

“Walaupun dewan tidak penuh dengan penonton, saya gembira dan berpuas hati kerana mendapat sasaran penonton lebih daripada apa yang diharapkan. Hampir 5,000 orang memenuhi dewan.

“Saya mula terfikir untuk menghasilkan konsert jelajah 5 Divo ini. InsyaAllah jika tiada halangan bolehlah saya dan produksi memikirkan untuk mengadakan konsert jelajah di Indonesia dan Singapura,” katanya.

Antara rakan artis yang turut hadir menyaksikan konsert ini ialah Datuk Sheila Majid, Misha Omar, W.A.R.I.S, Nana Mahazan, Fazli Zainal, Ifa Raziah, Nora Danish, Linda Rafar, Syed Aiman, Jihan Muse, Arja Lee dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 8:28 AM
DAFI (empat dari kiri) selaku penganjur bercadang mengadakan Konsert Jelajah 5 Divo selepas ini.
DAFI (empat dari kiri) selaku penganjur bercadang mengadakan Konsert Jelajah 5 Divo selepas ini.
GANDINGAN mantap Judika bersama Hazama.
GANDINGAN mantap Judika bersama Hazama.
HAFIZ tetap ‘cool’ walaupun tersasar ketika membawakan lagu Awan Nano.
HAFIZ tetap ‘cool’ walaupun tersasar ketika membawakan lagu Awan Nano.
AFGAN dan Taufik berduet lagu Love Never Felt So Good.
AFGAN dan Taufik berduet lagu Love Never Felt So Good.
MENUTUP tirai persembahan 5 Divo menyanyikan lagu Dealova dan Lelaki Ini
MENUTUP tirai persembahan 5 Divo menyanyikan lagu Dealova dan Lelaki Ini