AWIE dan Ella ketika hadir pada sidang media ‘ Dinner Gig 2018 FUFC The Fighters’ di Tenera H.
AWIE dan Ella ketika hadir pada sidang media ‘ Dinner Gig 2018 FUFC The Fighters’ di Tenera H.
Sudirman Mohd Tahir


GABUNGAN dua penyanyi rock hebat, Datuk Awie dan Ella tidak perlu dipertikai lagi. Keserasian mereka di pentas bukan saja menghiburkan, malah mampu meninggalkan momen indah buat penonton yang hadir.

Melihatkan pengaruh mereka dalam industri muzik tanah air menjadikan Awie dan Ella kekal sebagai pilihan penganjur dalam menjayakan persembahan.

Terbaru, Awie dan Ella dipilih menjayakan persembahan Dinner GIG 2018 anjuran FUFC The Fighters yang bakal berlangsung di Hotel Tenera Bangi pada 7 Disember ini.

Awie, 50, berkata, dia hanya ingin menampilkan persembahan yang hebat bersama Ella.

“Saya difahamkan penganjur sudah puas mencari artis yang sesuai untuk menjayakan makan malam ini. Jadi, apabila saya dan Ella dipilih, ia satu penghormatan buat kami.

“Cuma, kami tak boleh rock sangat sebab kena ikut konsep yang ditetapkan. Lagipun, kena tengok juga siapa tetamu yang hadir. Kalau ada kanak-kanak, tak sesuai nak terlalu rock.

“Insya-Allah saya akan menyanyikan lima lagu solo. Dengan Ella pula akan nyanyi lagu duet, tetapi tak pasti lagi lagu apa. Apa yang penting, kami nak fokus kepada persembahan supaya ia mampu menghiburkan tetamu,” katanya.

Bagi Ella pula, keserasian yang dicipta bersama Awie dalam beberapa konsert sebelum ini memudahkannya menjayakan acara itu.

“Kami selalu dipertemukan dalam satu pentas. Jadi, tak ada masalah pun. Dari segi keserasian, kami sudah saling mengerti. Cuma, pada usia sekarang, ada beberapa perkara perlu diambil kira.

“Sudah semestinya kami ingin berikan persembahan terbaik. Walaupun ini hanya majlis makan malam, tetamu yang hadir adalah pembeli meja. Jadi, tak boleh nak main-main. Tentu saja mereka harapkan sesuatu yang menghiburkan daripada kami,” katanya.

Ella berkata, dia juga bersyukur kerana masih menjadi pilihan penganjur untuk mengadakan persembahan besar.

“Alhamdulillah, dalam pada industri muzik meraikan kehadiran penyanyi baru dan muda, nama saya dan Awie masih jadi pilihan. Bagi saya, ini kepercayaan yang diberikan kepada kami. Malah, mereka inginkan persembahan yang berkualiti.

“Sebagai penghibur, saya sentiasa cuba beri yang terbaik. Bagi saya, soal usia bukan halangan kerana apa yang penting adalah sokongan daripada tetamu dan penonton. Mereka adalah sumber kekuatan seseorang penyanyi di atas pentas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Atlas One Events Sdn Bhd Syahrizal Ismail selaku pengendali majlis itu berkata, acara itu bertujuan mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan kelab bola sepak Felda United.

“Pihak penganjur percaya, acara ini mampu merapatkan hubungan dua hala membabitkan artis dan rakan penaja lain. Ia sekali gus memberi pendedahan kepada semua pihak mengenai kewujudan kelab ini.

“Saya yakin, gabungan Awie dan Ella bakal menghangatkan lagi majlis ini. Berdasarkan rekod mereka dalam bidang muzik, semua tetamu menantikan kemunculan mereka.

“Pemilihan dua nama hebat ini juga cukup kena dengan konsep dipilih. Bukan saja menerusi lagu disampaikan, tenaga yang bakal diberikan pada persembahan nanti sudah cukup membuktikan mereka kekal di liga tersendiri,” katanya.

Menariknya mengenai acara itu, tetamu yang hadir bakal membawa pulang dua gitar elektrik dan dua gitar akustik yang ditandatangani Awie dan Ella menerusi cabutan bertuah.

Tiket adalah terhad kepada 700 tetamu saja. Tiga pakej menarik disediakan membabitkan pakej silver RM2,500, emas RM3,500 dan platinum RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 6:00 AM