FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Persiaran Kayangan Seksyen 7, berhampiran susur keluar ke lebuh raya Persekutuan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Iskandar Ashraf Ismail, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati insiden berlaku di persimpangan lampu isyarat dan motosikal terbabit dari arah Padang Jawa yang ingin memasuki lebuh raya Persekutuan.

"Sebuah kereta dari arah Seksyen 7 menuju ke Padang Jawa telah merempuh motosikal berkenaan yang menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya.

"Tiada saksi di lokasi kejadian bagi mengesahkan mana-mana kenderaan terbabit yang tidak mengikut lampu isyarat," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan rakannya yang kritikal turut ditempatkan di hospital berkenaan.

Shafien berkata, pemandu serta penumpang kereta hanya mengalami cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 2:27 PM