AKSI Bellew (kiri) ketika menentang Cleverly.
AKSI Bellew (kiri) ketika menentang Cleverly.

Langkah Tony Bellew (gambar) selepas membalas dendam terhadap Nathan Cleverly bukan untuk mengejar gelaran dunia tetapi menuju ke Hollywood.

Bellew membuatkan musuh paling ketat dalam sejarah tinju Britain terlantar menerusi kemenangan di depan peminatnya sendiri di Liverpool.

Dia kini mengalih tumpuan ke layar perak selepas mendapat tawaran baru memikul watak utama untuk filem terbaru lanjutan siri Rocky bertajuk Creed.

Filem terbabit akan menjalani penggambaran di Vegas dan Philadelphia berkisar mengenai kisah hidup karier peninju cucu kepada Apollo Creed iaitu Adonis dengan wataknya dibawakan oleh Michael B Jordan.

Sylvester Stallone akan membuat kemunculan semula dengan wataknya sebagai Rocky Balboa selaku jurulatih kepada Creed dan Bellew bersedia memainkan watak sebagai pencabarnya dikenali sebagai Pretty Ricky Porter bersama juara dunia super-middleweight yang tidak pernah ditewaskan, Andre Ward.

"Saya akan ke Hollywood pada 4 Disember untuk tugasan," kata Bellew dalam nada seolah-olah enggan berterus-terang. "Saya mendapat tawaran itu selepas sekian lama. Saya berharap mendapat watak yang bercakap kerana tiada siapa mahu melihat wajah ini apabila saya tidak bercakap. Kehidupan saya akan berubah.

"Saya memiliki kontrak yang ada di depan mata sejak beberapa minggu kerana saya tidak menandatanganinya. Jika pertarungan itu tidak menjadi, saya tidak akan menandatanganinya dan pulang ke rumah dalam keadaan tertekan.

"Saya tidak boleh memberi maklumat lanjut kerana lebih selesa mengatakan ia besar. Ia akan melalui penggambaran selama 40 hari dan saya berharap saya dapat melakukannya."

Karier tinju Bellew kurang diberi perhatian sekarang tetapi bertukar sebaliknya apabila menentang Cleverly tiga tahun selepas mengalami kekalahan pertama.

Selepas ini dia akan lebih dikenali sebagai pelakon filem daripada bertinju di pentas perlawanan.

"Saya tidak mungkin menjadi popular seperti watak asal dipegang Stallone dalam sekelip mata.

"Namun saya harap dapat membawa watak itu dengan baik sekalipun tidak pernah menyertai kelas lakonan.

"Siapa tahu, saya mungkin akan dicalonkan pelakon harapan Anugerah Oscar," kata Bellew sambil ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:04 AM